AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Siaran langsung rancangan majukan ekonomi 27 Julai

SHAH ALAM, 25 JULAI: Rancangan Selangor Satu (RS-1) yang dibentang pada 27 Julai ini boleh ditonton secara langsung menerusi SelangorTV dan Facebook Media Selangor.

Pembentangan pelan lima tahun yang dipancar dari sidang Dewan Negeri Selangor turut dilaporkan portal Selangor Journal dan Selangorkini termasuk edisi Mandarin dan Tamil.

Butiran penting pembentangan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga diterbitkan dalam akhbar mingguan Selangorkini edisi 28 Julai-3 Ogos.

Sebelumnya, Amirudin menjelaskan RS-1 berfungsi membina daya tahan kukuh bagi mendepani cabaran masa depan dalam persekitaran yang kian kompleks.

Kerangka pembentukan Rancangan Selangor Satu meliputi pertumbuhan ekonomi yang menyelaras strategi pelaburan dan peningkatan kesejahteraan hidup serta keterangkuman sosial.

Turut ditekankan ialah pemacuan kelestarian bagi memulihara alam sekitar selain tadbir urus pintar serta berkesan dengan libat urus bersama pemegang taruh juga orang awam.

Rancangan itu melalui empat fasa utama melibatkan penjajaran visi, kerangka dan sasaran (pertama) sementara fasa dua merangkumi perincian diagnosis dan pembangunan kandungan.

Bagi fasa ketiga, ia melibatkan perincian dan penentuan keutamaan program sementara fasa empat pula merangkumi sesi validasi dan pemuktamadan laporan.


Pengarang :