Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Yong Kai Ping bercakap kepada media selepas majlis program Pemecut Fesyen Selangor di Hilton Hotel I-City, Shah Alam pada 29 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sidec tekad bantu jenama fesyen sederhana tembusi pasaran global

SHAH ALAM, 30 JULAI: Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) tekad membantu pemilik jenama fesyen sederhana (modest fashion) negeri ini mengembangkan perniagaan ke peringkat global melalui platform maya.

Ketua pegawai eksekutif berkata pihaknya menyedari keperluan untuk menerima industri fesyen sebagai sebahagian daripada pendigitalan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pemula tempatan.

Menurut Yong Kai Ping program Pemecut Fesyen Selangor (SFA) yang julung kali diperkenalkan tahun ini adalah langkah tepat untuk menyokong perniagaan fesyen sederhana.

“Memandangkan tidak banyak program dikhususkan untuk industri fesyen, Sidec tampil ke depan memberi sokongan kepada pemilik jenama fesyen sederhana supaya perniagaan boleh dikembangkan ke negara seperti Indonesia dan Vietnam.

“Tambahan pula di Malaysia tiada lagi jenama fesyen sederhana yang menonjol sedangkan pasaran itu lebih luas sekiranya mereka dibekalkan latihan dan pendedahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan 16 peserta terpilih menjalani program SFA 2022 di DoubleTree Hilton Hotel I-City di sini semalam.

Dalam pada itu, Kai Ping mengakui fesyen sederhana kini menjadi suatu keperluan bagi penggemar fesyen di Asia Tenggara terutama Malaysia.

“Di negara berbilang kaum seperti Malaysia, trend fesyen telah berubah. Kini dapat dilihat melalui evolusi fesyen sederhana kerana ia memperlihatkan gaya, stail serta keanggunan.

“Namun pada masa sama mengekalkan ciri unik reka bentuk sederhana yang berlandaskan budaya Asia Tenggara,” katanya.


Pengarang :