AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Sindiket tipu dalam talian berselindung identiti keldai akaun

SHAH ALAM, 14 JULAI: Sindiket penipuan dalam talian sukar dikesan berikutan berselindung di sebalik identiti keldai akaun, kata ketua jabatan siasatan jenayah komersil kontinjen Selangor.

Asisten Komisioner Azman Ali berkata sindiket kebiasaannya menggunakan nombor telefon dan akaun didaftarkan bukan atas nama mereka atau keluarga, sebaliknya mengupah mana-mana individu.

“Mangsa penipuan dalam talian menganggap polis mudah menyelesaikan kes kerana mempunyai nombor telefon dan akaun sedangkan sindiket menyembunyikan diri dengan menggunakan keldai akaun.

“Apabila polis membuat semakan dan tangkapan, kita dapati individu ini hanya keldai akaun sahaja yang mungkin dibayar RM300. Kebanyakan mereka merupakan penagih dadah, gelandangan, peminjam ah long atau yang terdesak mendapatkan wang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara secara langsung melalui Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV pada Selasa lalu.

Oleh demikian, Azman menasihatkan masyarakat supaya jangan melayan mana-mana panggilan telefon daripada individu tidak dikenali bagi mengelak diperdaya.

“Malah, masyarakat juga disaran supaya jangan mendedahkan butir-butir perbankan kepada mana-mana individu termasuk menyerahkan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) serta kerap memantau ibu bapa di kampung.

“Sekiranya masyarakat boleh berbuat demikian, kita percaya dapat mengurangkan statistik jenayah penipuan dalam talian. Tanpa kesedaran sukar pihak polis untuk mencegahnya kerana jenayah berkaitan berbeza,” katanya.


Pengarang :