ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berucap ketika serahan Bantuan Selangor Bangkit di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Meru, Klang pada 19 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Sita premis jadi dalang benarkan warga asing berniaga

SHAH ALAM, 19 JULAI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) perlu lebih agresif membanteras perniagaan haram diusahakan warga asing termasuk menyita premis warga tempatan yang menjadi dalang kegiatan itu.

Ahli Dewan Negeri Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata meskipun tindakan perobohan pernah dibuat ke atas premis terlibat namun aktiviti sama masih berjalan, lapor Sinar Harian.

“Pada pandangan saya sudah tiba masa tindakan lebih keras dilakukan melalui sitaan premis dan kediaman yang disalah guna menjadi kedai runcit,” katanya.

Tidak menafikan penguat kuasa membuat kerja mereka, namun beliau berpandangan ia tidak cukup tegas hingga berlaku kecurian bekalan elektrik tanpa disedari Tenaga Nasional Berhad.

“Maknanya kena ada tindakan lebih tegas, tindakan MPK sahaja tidak mencukupi kerana bidang kuasa yang terhad. Jadi kena kerjasama daripada agensi lain untuk selesaikan masalah ini,” katanya.

Sebelum ini, MPK menyerbu dan menyita 11 kediaman yang diubah suai menjadi kedai runcit oleh warga asing dengan ada antaranya menjual minuman keras.


Pengarang :