Seramai 522 pelajar baharu melafazkan ikrar pada Majlis Ikrar Pelajar Baharu yang berlangsung di Dewan Canselor, Unisel kampus Bestari Jaya pada 20 November 2021. Foto Facebook Unisel
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Skim Dermasiswa Unisel tawar pengajian percuma kepada lepasan SPM

SHAH ALAM, 23 JULAI: Universiti Selangor (Unisel) menawarkan yuran pengajian percuma kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi Skim Dermasiswa bagi program asas.

Pengarah komunikasi korporatnya, Hasril Abu Hassan berkata skim itu adalah inisiatif Unisel dan Kerajaan Negeri untuk membuka peluang pendidikan kepada semua lapisan masyarakat terutama golongan tidak berkemampuan.

“Pengecualian yuran pengajian diberikan kepada pelajar-pelajar yang layak. Skim Dermasiswa ini bukan hanya terbuka kepada rakyat Selangor tetapi seluruh rakyat Malaysia.

“Lima program pengajian ditawarkan oleh Pusat Pengajian Asasi dan Umum (Padu) iaitu Program Asas Sains, Program Asas Teknologi Maklumat, Program Asas Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua), Program Asas Pengurusan dan Program Asas Sastera,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, mereka yang berminat dan ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh layari laman sesawang www.unisel.edu.my dengan kemasukan terakhir pada 30 Julai ini.

“Untuk mendaftar anda boleh terus ke pautan http://apply.unisel.edu.my/. Sebarang pertanyaan boleh terus ke pejabat pemasaran dan kemasukan Unisel di Kampus Shah Alam dan Bestari Jaya atau hubungi talian 03-5522 3400,” katanya.

Pada tahun lalu, sebanyak 90.5 peratus daripada 2,578 graduan Unisel mendapat tempat dalam pasaran kerja.

Presiden dan naib canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata penuntut fakulti komunikasi, seni visual dan pengkomputeran merekodkan bilangan tertinggi diterima bekerja selepas menamatkan pengajian.


Pengarang :