Usahawan produk kesihatan dan kecantikan Norliza Aizul Zulkifli menerima sijil penghargaan daripada Pengarah Eksekutif Hijrah Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor ketika Kembara Sukses Hijrah di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 8 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Skim niaga serendah RM1,000 bantu tambah pendapatan, basmi kemiskinan

SHAH ALAM, 27 JULAI: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menawarkan skim pembiayaan mikro serendah RM1,000 hingga RM10,000 bagi membantu individu yang ingin meningkatkan taraf hidup menerusi kegiatan perniagaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif yang diperkenal sejak 2008 sejajar hasrat Kerajaan Negeri yang mahu meningkatkan pendapatan isi rumah dan membasmi kemiskinan.

“Strategi ini memberi tumpuan untuk meningkatkan tahap pendapatan isi rumah dan membasmi kemiskinan melalui program bantuan keusahawanan.

“Contohnya, Skim Hijrah yang menawarkan pelbagai skim pembiayaan mikro antara RM1,000 hingga RM100,000 dengan pembayaran balik dalam tempoh enam bulan hingga tiga tahun,” katanya ketika membentang Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri (DNS) hari ini.

Setakat Januari hingga Jun, seramai 4,113 usahawan menerima pembiayaan perniagaan RM69.01 juta daripada Hijrah.

Sebelum ini, RM120 juta diperuntuk menerusi Belanjawan Selangor 2022 khusus untuk pembiayaan kepada usahawan selain mewujudkan skim baharu bawah Hijrah yang menyediakan pinjaman sehingga RM100,000.

Skim baharu berkenaan adalah i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim yang kesemuanya berfungsi memperkasa usahawan negeri.


Pengarang :