Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis penyerahan surat niat (LOI) kepada Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB) untuk pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam di foyer pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri pada 15 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Kos naik taraf Stadium Shah Alam terlalu besar, dijangka sehingga RM787 juta

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kerajaan Selangor menganggarkan kos menaik taraf Stadium Shah Alam menelan belanja terlalu besar membabitkan RM787 juta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merujuk dapatan jawatankuasa khas yang diketuai bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor Dato’ Roslan Abdul Aziz bagi menilai pembangunan kompleks sukan tersebut.

“Pada hari ini, kita menganggarkan keseluruhan baik pulih stadium, daripada RM350 juta pada 2013 untuk selesaikan isu banjir dan isu pokok seperti bumbung stadium, memerlukan RM787 juta untuk baiki keseluruhan atau menaik taraf Stadium Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan surat niat (LOI) kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) di sini hari ini.

Amirudin juga menjelaskan jawatankuasa yang meneliti keadaan stadium sejak 2013 berpendapat menaik taraf lebih baik berbanding meneruskan kerja penyelenggaraan.

“Itu secara teknikal dan kewangan. Pembangunan semula dengan kos yang sekali ganda daripada pembinaan stadium ini boleh dianggap sebagai bangunan baharu,” katanya

Beliau berkata MRCB dipilih daripada 15 syarikat selepas mengambil kira kedudukan kewangan selain pengalaman membaik pulih Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2017.

Kerajaan Negeri sebelum ini berbelanja RM56 juta antara 2013 hingga 2022 bagi menyelenggara dan membaiki kerosakan di stadium berkenaan.


Pengarang :