Orang ramai membuat persiapan bagi menyambut hari raya ketika tinjauan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada 10 April 2022. Mereka disarankan sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Subvarian Omicron pantas merebak, orang ramai disaran terus waspada

SHAH ALAM, 7 JULAI : Orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil ringan jangkitan terhadap wabak Covid-19 memandangkan dua subvarian Omicron BA.4 dan BA.5 pantas merebak.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kini lebih 110 negara sudah merekodkan peningkatan kes disebabkan oleh dua subvarian berkenaan.

“Selain Malaysia, negara jiran seperti Singapura dan Indonesia juga mengalami peningkatan kes. Ramai orang di sekeliling kita yang tidak dijangkiti sepanjang dua tahun lalu kini sudah dijangkiti,” tulisnya di Twitter semalam.

“Pakai pelitup muka di tempat tertutup dan kawasan sesak serta amalkan langkah-langkah uji, lapor, maklum, asing dan dapatkan rawatan (TRIIS).”

Justeru, Khairy menyarankan individu terutamanya warga emas dan golongan berisiko tinggi yang masih belum mendapatkan dos penggalak untuk segera melakukannya.

Setakat 5 Julai, sebanyak 2,932 kes baharu Covid-19 direkodkan berbanding 1,918 kes sehari sebelum itu.


Pengarang :