Atlet angkat berat negara Muhamad Aznil Bidin menunjukkan pingat emas yang dimenanginya dalam acara angkat berat kategori 61kg pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Dewan NEC 1 hari ini. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sukan Komanwel 2022: Skuad angkat berat sumbang emas kedua negara

BIRMINGHAM, 30 JULAI: Skuad angkat berat negara terus mencipta sensasi apabila menyumbangkan pingat emas kedua kepada Malaysia pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di sini, hari ini.

Muhamad Aznil Bidin memastikan Jalur Gemilang terus berkibar megah di Pusat Pameran Nasional (NEC) apabila melakukan angkatan bebanan keseluruhan 285 kilogram (kg) dalam kategori 61kg lelaki sekali gus mencatat rekod baharu temasya.

Badang kelahiran Kedah itu melakukan angkatan snatch 127kg dan 158kg bagi clean & jerk.

Kejayaan tersebut juga sekali gus membuktikan kehebatan atlet berusia 28 tahun itu yang berjaya mempertahankan gelarannya yang dimenangi pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.

Atlet Papua New Guinea Morea Baru memenangi pingat perak dengan mencatat angkatan keseluruhan seberat 273kg, sementara gangsa menjadi milik Gururaja Poojary dari India dengan angkatan bebanan 269kg.

Sementara itu, Muhamad Aznil bersyukur kerana segala usaha dilakukan selama empat tahun dalam membuat persiapan bagi menghadapi temasya kali ini, berbaloi.

“Bukan mudah nak pertahankan pingat emas…perlu mental kuat, jaga pemakanan, rehat yang cukup dan sentiasa mendengar apa jurulatih beritahu,” katanya bahawa kejayaan di temasya kali ini menjadi motivasi kepadanya, untuk layak beraksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.

“Pada Disember ini ada kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik (2024) di Colombia, jadi saya akan membuat persiapan sebaiknya, kerana impian saya untuk mendapat pingat di Olimpik,” katanya.

Terdahulu pada saingan hari ini, Mohamad Aniq Kasdan menyumbangkan pingat emas pertama negara di temasya sukan berkenaan, apabila mengungguli kategori 55kg lelaki.

Kejayaan tersebut juga amat istimewa selepas kontinjen negara tidak menjelmakan kilauan pingat sejaktemasya sukan berkenaan dibuka secara rasmi pada Khamis (28 Julai) lepas.

Lebih manis, Mohamad Aniq yang melakukan angkatan keseluruhan 249kg berjaya mencipta rekod baharu temasya.

– BERNAMA


Pengarang :