AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sukan rakyat tawar hadiah hingga RM350 di Jelajah Selangor Penyayang esok

SHAH ALAM, 23 JULAI: Pengunjung Karnival Jelajah Selangor Penyayang di Petaling esok berpeluang memenangi hadiah sehingga RM350 menerusi permainan tradisional rakyat.

Aktiviti batu seremban, sepak raga ratus dan congkak itu adalah sebahagian daripada program yang berlangsung dari 8 pagi hingga 5.30 petang di Dataran Boulevard, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Selain itu, orang ramai juga berpeluang menunjukkan bakat menari bagi merebut hadiah RM1,000 bagi juara, naib juara (RM700), ketiga (RM500) dan keempat (RM300).

Jelajah Selangor Penyayang yang memperkenal pelbagai inisiatif baharu dan ditambah baik untuk rakyat bakal dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Karnival itu turut diserikan dengan persembahan artis, senamrobik, pertandingan memasak, gubahan bunga, jualan barangan asas murah, pameran dan jualan.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Sebelum ini, acara sama berlangsung di Taman Kosas Ampang Jaya, Dataran Pantai Morib Kuala Langat dan Stadium Utama Kuala Selangor dengan ketiga-tiganya mendapat sambutan menggalakkan.

Program berkenaan bakal berakhir di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 31 Julai.


Pengarang :