Sukarelawan Selangor membantu membersihkan kediaman mangsa banjir di Baling, Kedah pada 8 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Sukarelawan negeri bersih 72 rumah mangsa bah di Baling

SHAH ALAM, 8 JULAI: Sebanyak 72 rumah mangsa banjir di Baling, Kedah dibersihkan pasukan sukarelawan negeri ini sepanjang dua hari misi pascabanjir sejak semalam.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Mohd Khairuddin Othman berkata pembersihan dibuat Sukarelawan Selangor (SERVE) dan Pasukan Tindakan Segera (Pantas) meliputi anggota 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kakitangan Majlis Pembandaran Ampang Jaya (MPAJ) membantu membersihkan kediaman mangsa banjir di Baling, Kedah pada 8 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sehari kita dapat bersihkan 36 rumah yang mana setiap PBT dapat bersihkan tiga kediaman manakala SERVE pula mengeluarkan dan membersihkan barang mangsa bah.

“Tidak banyak rumah mangsa bah yang dapat dibersihkan tetapi dengan kelengkapan yang kita bawa seperti lori Roll on Roll Off (RoRo) dan tangki air mempercepat proses itu,” katanya.

Beliau yang mengetuai operasi pembersihan itu menambah pihaknya juga sedia mempertimbang bantuan jika ada permintaan bagi membantu mangsa bah di situ.

“Kalau perlu bantuan lagi, kita sedia pergi balik untuk bantu mangsa. Misi ini bukan sekadar bantuan Kerajaan Negeri tetapi atas dasar kemanusiaan,” katanya.

Seramai 263 anggota pelbagai agensi digerak dalam misi ke Baling, Kedah selama dua hari sejak semalam meliputi Kampung Sadek, Kampung Tanjung Merbau, Kampung Jerai, Kampung Tanjung Kupang dan Kampung Seberang Jaya.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman memberi taklimat kepada Sukarelawan Selangor pada hari kedua bagi Misi Bantuan Pasca Banjir di Baling, Kedah pada Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sebanyak 33 jentera dan 112 alatan dibawa bagi menjayakan operasi termasuk pacuan empat roda, van, lori RoRo dan lori tipper.

Perkakas termasuk mesin pemotong pokok, tong air, pam air bertekanan tinggi, jengkaut dan lampu turut dibawa bagi membersihkan kediaman penduduk dan laluan.

Dalam kejadian itu, tiga orang termasuk ibu hamil maut manakala ratusan penduduk terjejas berikutan banjir akibat fenomena kepala air pada petang pada 6 Julai.


Pengarang :