DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Norashikin. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor seru perbaharui azam sempena tahun baharu Islam

SHAH ALAM, 29 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru umat Islam memperbaharui azam supaya menjadi lebih kreatif dan berinovasi dalam menghadapi dunia yang kian mencabar.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah umat Islam juga perlu bersedia menghadapi keadaan negara yang dilanda pelbagai ujian seperti wabak penyakit dan bencana alam.

“Ini demi memastikan masyarakat dapat terus menjalani kehidupan seperti biasa dan kebajikan mereka tetap terjaga,” titah baginda sempena tahun baharu Islam 1 Muharam 1444 Hijrah melalui Facebook Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin bertitah tahun baharu adalah peluang terbaik menanam semangat untuk berubah selain memperbaiki diri atau keadaan kepada lebih baik sama ada sebagai individu, keluarga, jabatan, masyarakat mahupun negara.

“Allah SWT memerintahkan kita berusaha untuk mengubah nasib diri kita sendiri sebagaimana firman dalam Surah al-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud: ‘Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri’,” titah baginda.

Dalam konteks umat Islam pada masa ini, Baginda turut berharap hijrah kali ini menjadi titik perpindahan untuk meninggalkan segala sifat buruk (mazmumah) dan negatif kepada sifat terpuji serta positif

“Berpindah dengan meninggalkan perbuatan-perbuatan keji dan maksiat kepada perbuatan serta amalan yang baik dan soleh,” titah baginda lagi.

Dalam pada itu, baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Awal Muharram (Ma’al Hijrah) tahun baharu 1444 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Malaysia.


Pengarang :