Pengasuh melakukan aktiviti membaca bersama kanak-kanak ketika pelancaran Taska Anak Petugas Barisan Hadapan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 18 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Syarikat sedia pusat asuhan anak diberi insentif, permudah wanita bekerja

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan insentif khas bagi syarikat yang mewujudkan pusat asuhan kanak-kanak di pejabat bagi memudahkan golongan wanita bekerja.

Dato’ Menteri Besar berkata kemudahan itu mendorong lebih ramai wanita untuk kekal bekerja seterusnya menyumbang sasaran 75 peratus penyertaan golongan itu dalam pasaran kerja menjelang 2025.

“Ini akan dimulakan dengan agensi-agensi, anak syarikat Kerajaan Negeri selain mewajibkan penyediaan pusat asuhan kanak-kanak serta bilik khas untuk penyusuan bayi di semua premis pihak berkuasa tempatan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Ketika membentang Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, Amirudin berkata pembangunan usahawan wanita turut diperkukuh dengan meningkatkan akses kepada pembiayaan dan latihan kemahiran.

“RS-1 juga akan memberi tumpuan kepada program advokasi untuk menggalakkan majikan sektor awam dan swasta untuk menyediakan aturan kerja yang lebih fleksibel.

“Contohnya seperti bekerja dari rumah dan secara hibrid untuk pekerjaan yang sesuai serta kerja mengikut waktu yang fleksibel khusus untuk golongan wanita,” katanya.

 


Pengarang :