Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama penerima kunci rumah selepas merasmikan majlis penyerahan kunci Rumah Selangorku di Taman Bukit Raya, Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 10 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tambah rumah mampu milik, kerjasama bank permudah pinjaman

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kerajaan Negeri akan menambah pembinaan rumah mampu milik bagi membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman membuka peluang untuk rakyat menghuni kediaman lebih selesa dan lengkap kemudahan dengan keluasan 1,000 kaki.

“Di bawah bidang tumpuan ini (Rancangan Selangor Pertama (RS-1), terdapat dua matlamat iaitu untuk meningkatkan kadar pemilikan rumah di Selangor dan menawarkan kediaman yang menjamin kesejahteraan keluarga yang lebih baik,” katanya ketika membentang RS-1 di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin menambah pihaknya juga akan bekerjasama dengan sektor perbankan bagi menyelesaikan isu pembiayaan perumahan yang seringkali membelenggu rakyat ketika memohon pinjaman.

“Kerajaan Negeri sedang giat meneroka bentuk kerjasama dengan institusi kewangan terutama perbankan bagi mewujudkan sistem pembiayaan khusus buat rakyat Negeri Selangor memiliki kediaman,” katanya lagi.

Pada 14 Julai, Amirudin memaklumkan sebanyak 130,545 unit rumah mampu milik melibatkan 76 projek diluluskan.

Pada masa sama 24,428 unit Rumah Selangorku berjaya disiapkan dan ditawar kepada penduduk sejak 2018 sehingga 15 November 2021.


Pengarang :