BUDAYARENCANA

Tanpa ‘khutbah’, imej dan audio filem Tjoet Nja’ Dhien pacu patriotisme

Oleh Za’im Yusoff

Sesuatu yang menyilau menundukkan pandangan yang memandang. Biarpun sudah lama tetapi apabila dipantulkan cahaya, ia kembali terang lalu yang melihatnya kagum tercengang. Soalnya, sampai bila?

Darihal itu, sebuah sinema yang benar-benar menyilau, mustahil berhenti pada kutipan atau sambutan jangka masa pendek. Sebaliknya, pencapaian sinematik sebuah sinema yang menyilau pastinya terus diperkatakan dan dijadikan rujukan dalam jangka masa panjang.

Dalam genre biopik sejarah dan perang, sinema di tahap menyilau itu antaranya diketemu menerusi adikarya Eros Djarot, Tjoet Nja’ Dhien (1988) yang turut diangkat dalam festival filem Cannes 1989.

Dalam banyak babak, Tjoet tidak perlu berkhutbah lama. Bahkan, Eros cuma perlu meletakkan dua babak beriringan untuk mempamer kebesaran jiwa Cut Nyak Dien, tokoh srikandi Aceh penentang penjajah Belanda.

Dalam babak pertama, Cut mempersoal, menggertak lalu sengaja melepaskan soldadu Belanda itu kembali ke pangkuan jeneralnya tetapi tidak lama kemudian, jeneral itu menuduhnya sebagai pengkhianat lalu membunuh soldadu itu dek baran.

Di sini, jiwa besar pemimpin perjuangan rakyat seperti Cut terpamer dan jiwa kerdil penjajah semacam Belanda terzahir. Walau seteru, soldadu itu tetap damai berada di bawah tawanan rahmah Cut, seorang pejuang ikhlas. Ironinya meski sekutu, soldadu itu tetap terkena tempias musibah dari penjajah Belanda yang menjarah.

Apatah lagi, jeneral Belanda itu pula diarah untuk mengaburkan berita kematian soldadunya sebagai terkorban di medan. Ini memperlihat sisi sinisme ungkapan mahsyur, ‘sejarah ditulis oleh pemenang’ seraya kita diberitahu untuk berhati-hati dengan segala yang ditulis sejarah.

Permainan jukstaposisi sebegini, malah banyak lagi dalam Tjoet – menjadi ramuan rahsia terbuka bagi pengkarya sinema sejarah untuk mencetuskan wacana tentang banyak hal meski sedikit perihal yang dilayarkan.

Kebijaksanaan bercerita termasuklah menyusun naratif, berlaku adil dengan dialog melalui kata-kata padat pada saat yang tepat adalah sesuatu yang dikenang zaman sebagai inilah rujukan sinema abad.

Hal ini mustahil diketemu oleh penikmat sinema jika sekadar menonton lalu menguap tetapi tidak mencerap lalu menyerap kuasa magis sinema yang tidak bermula semata-mata dengan lontaran kata-kata bahkan layaran imej-imej. Bukankah sinema sendiri bermula dengan filem-filem bisu?

Sebetulnya, filem-filem inspirasi sejarah kita sekelas Hang Jebat (1961) disutradarai Hussein Haniff, Hang Tuah (1956) oleh Phani Majmudar malah Sarjan Hassan (1958) oleh P. Ramlee & Lamberto V. Avellana  lebih kompleks dan dramatik jika dibandingkan dengan Tjoet Nja’ Dhien.

Namun, yang membuatkan naratif mudah Tjoet menjadi megah dan segah adalah pencapaian sinematiknya di mana naratif Tjoet bukan sekadar digerakkan oleh lakonan dan lontaran suara mantap Christine Hakim dan seangkatan. Malah, imej-imej dan audionya juga berkuasa menggerakkan teks dan subteks Tjoet.

Awal Tjoet, terpapar gerombolan puntung-puntung api waktu malam oleh para pejuang Aceh seraya memerihal bakaran semangat perjuangan membantai penjajah Belanda tanpa mengira waktu.

Kemudian wujud paralelisme imej di tengah Tjoet, dengan corak gerombolan yang serupa. Burung-burung putih dirakam lensa bergerak melatari perbukitan hijau menggambarkan kebebasan mereka setelah berjuang – jika tidak di dunia, pasti di akhirat.

Malah, kita menyaksikan bukan sahaja pejuang Aceh yang mengangkat tandu Cut ketika uzur. Di akhir, penjajah Belanda sendiri yang menjulang tandu itu di atas pundak dan jemala mereka. Bagaimana Cut seorang pejuang uzur lagi buta dijulang beribu-ribu penentangnya yang kuat-kuat dan celik-celik belaka?

Inilah kuasa show, don’t tell sinema Tjoet yang bijak mencatankan betapa besarnya kuasa seorang pejuang berhasil menawan jiwa kerdil para penentangnya.

Lantaran perjuangan Cut lebih bersifat gerila pelarian yang berpindah-randah menelusuri alur geografi, sinematografi Tjoet turut merakam keelokan selok belok hutan Nusantara yang tetap menyimpan misteri, semisterius wajah Cut yang tidak dicam penjajah namun namanya masih meresahkan mereka.

Aksi perang Tjoet pula memanfaatkan realisme dengan menggentayangkan suara tangisan kanak-kanak melatari hiruk pikuk korban perang. Lebih mencengangkan, keserakahan penjajah ditonjolkan apabila mereka berdiri, tersenyum lalu mengabdikan foto kemenangan sadis atas timbunan mayat-mayat rakyat.

Dengan imej-imej sinema sebegini, Tjoet bercerita secara subteks – bagaimana bagi seorang pejuang adalah yang pertama, menentang penjajah di depan mata. Kedua, menentang pengkhianatan di sekelilingnya. Terakhir, menentang apa yang disebut Cut sebagai “melemahnya iman dalam diri” dalam naik turun perjuangan.

Bukannya Cut tidak melontarkan kata-kata kesat kepada Belanda sebagai tanda protes anti-kolonial tetapi kata-katanya terkawal. Susuknya istiqamah melontarkan gelar “kapir-kapir itu” bagi membuktikan betapa perjuangan watannya ditunjangi iman. Bahkan kita bagaikan terpukau apabila perbualan Cut tentang terbunuhnya seekor nyamuk mampu menyifatkan bau busuk para pengkhianatnya!

Kata-kata Cut turut sarat dengan rundingan politik bersama tokoh-tokoh tempatan semisal Habib Meulaboh juga pedagang berpengaruh Portugis. Ini menguatkan perwatakan Cut sebagai tokoh celik berpolitik bukan sekadar penentang fizikal licik. Tidak hairanlah beliau digelar sebagai “otak di belakang Teuku Umar”, almarhum suaminya yang turut berjuang.

Dalam Tjoet, pengkhianatan tidak tiba-tiba muncul. Pengkhianatan berlaku dengan sebab dan akibat kuat bersama konteks yang masuk akal seperti disimpulkan dalam sebaris dialog Tjoet – kerana “Wang, pangkat dan kepuasan peribadi. Money and Glory”.

Tiap watak punya motif yang ditujui, digerakkan oleh motivasi jelas sebelum mencapai katarsis lalu dipindahkan sebagai klimaks di sisi penonton.

Bahkan pertimbangan moral penonton tercabar sama ada tindakan orang kanan Cut, Pang Laot yang mendedahkan lokasi Cut dek khuatir kesihatannya merosot adakah sebuah pengkhianatan mutlak atau sebenarnya sejenis strategi dari Pang Laot sendiri. Ini kerana kita mempelajari dalam kredit bahawa Gambang, anak Cut ternyata meneruskan pemberontakan setelah fasa bondanya berakhir.

Di sini kebijaksanaan Eros terpancar dalam memanfaatkan watak-watak muda iaitu Gambang dan juga Agam, anak korban perang yang dilihat sering berinteraksi dengan watak-watak dewasa terutamanya orang-orang kanan Cut iaitu Penyair dan Pang Laot.

Interaksi antara golongan pejuang muda dengan golongan pejuang tua dilihat sebagai manifestasi bagaimana perjuangan orang terdahulu diperturunkan kepada golongan terkemudian lalu mencetuskan wacana zeitgeist era kolonialisme tersendiri.

Ini mengukuhkan lagi kefahaman bagaimana roh perjuangan Cut tidak bersifat setempat bahkan berkesinambungan sehingga Indonesia berhasil mendakap kemerdekaan.

Tjoet memilih untuk tidak menyilau dengan gerak gempur silat dan detak dentum jeritan Allahuakbar tetapi tetap gah melayarkan akal berstrategis bersaling kental jihad terzahir pada teks dan subteksnya, juga imej-imej dan audionya – menjadikan Tjoet rujukan umat penikmat sinema sejarah.

Arkian, renungan tajam Cut merenung wajah soldadu Belanda itu ternyata masih lebih menyilaukan sampai sekarang lantaran apa yang dicapai Tjoet belum mampu digapai pengkarya kita.

Lagi pula, harapan itu makin menipis memandangkan hari ini, kutipan dan kualiti sinema menjadi pertaruhan seakan-akan pilihan yang ada di tangan sutradara hanya salah satu, mustahil kedua-duanya sekali.


Pengarang :