Orang ramai boleh menyemak dan membayar cukai, kompaun atau lesen di kaunter bergerak Majlis Perbandaran Kajang. Foto Facebook MPKj
PBTSELANGOR

Pasar malam, pusat beli-belah lokasi kaunter bergerak MPKj sepanjang minggu ini

SHAH ALAM, 18 JULAI: Kaunter bergerak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) akan beroperasi di beberapa lokasi sepanjang minggu in, untuk kemudahan orang ramai.

MPKj memaklumkan selain tapak pasar malam, pusat beli-belah menjadi lokasi pilihan kerana ia menjadi tumpuan penduduk.

“Kami akan membuka kaunter bergerak di tapak pasar malam di Taman Setia Sungai Chua (hari ini), Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi (esok), Taman Cheras Perdana (lusa) Taman Jasmin (Khamis) dan Taman Harmoni Indah Bukit Belimbing (Jumaat) mulai jam 6 petang hingga 10 malam.

“Operasi Bersepadu Kutipan Hasil MPKj pula akan diadakan di Taman Pelangi Semenyih pada Khamis ini bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari,” katanya dalam kenyataan.

Menurut MPKj, program kaunter bergerak bahagian hasil akan diadakan pada Sabtu dan Ahad ini iaitu masing-masing di Pusat Dagangan Desaria2, Balakong serta Pasaraya Besar CLC Semenyih mulai jam 10 pagi hingga 4 petang.

“Kaunter bergerak ini diharap dapat memudahkan orang ramai membayar cukai taksiran, lesen dan kompaun,” katanya.

Selain itu, MPKj berkata diskaun ke atas fi notis dan waran tahanan turut ditawarkan kepada orang ramai sempena sambutan ulang tahun ke-25 atau Jubli Perak MPKj.

“Kempen ini berlangsung sejak 1 Januari lalu hingga 31 Disember ini,” katanya.


Pengarang :