Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud menyantuni sebahagian orang kelainan upaya (OKU) ketika Sambutan Hari OKU Sedunia Peringkat Negeri Selangor 2021 semasa Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 3 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Tawaran kerja bukti negeri hargai bakat, kelebihan OKU

SHAH ALAM, 29 JULAI: Peluang orang kelainan upaya (OKU) khususnya belia diterima kerja sebaik keluar dari pusat jagaan membuktikan Kerajaan Selangor tidak memandang rendah bakat dan kelebihan golongan itu.

Pengurus Pusat Jagaan OKU Nur, Rawang Normah Adlan, 50, berkata pihaknya menyambut baik inisiatif digaris dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan percaya kemampuan individu kurang upaya bersaing dalam pasaran kerja.

“Saya sokong sepenuhnya usaha Kerajaan Negeri yang mahu sediakan lebih banyak peluang kerja kepada OKU memandangkan kita tahu golongan ini juga ada kelebihan masing-masing dan perlu ditonjolkan.

“Sekurang-kurangnya selepas ini mereka tidak lagi perlu bergantung kepada bantuan Kerajaan Negeri atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebaliknya sudah memiliki pendapatan sendiri,” katanya ketika dihubungi.

Beliau yang mengurus pusat jagaan terbabit sejak 16 tahun lalu turut mengakui terdapat sebilangan kecil penghuni mempunyai potensi dalam bidang tertentu untuk diketengahkan.

“Kira-kira 90 penghuni daripada usia kanak-kanak hingga warga emas ditempatkan di sini setakat ini dengan kesemuanya mempunyai masalah pemikiran dan sindrom down selain sukar mengawal diri sendiri.

“Namun kita dapati ada dalam kalangan mereka yang mempunyai kemahiran tertentu seperti buat kek. Jadi sayang jika bakat ini tidak diketengahkan selepas mereka keluar daripada pusat jagaan,” katanya.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan RS-1 berkata Kerajaan Negeri terus membela nasib OKU dengan menyediakan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan tumpuan tambahan diberikan untuk belia OKU semasa mereka beralih dari pusat kebajikan kepada dunia luar.

Sebelum ini, menerusi Belanjawan 2022, Amirudin mengumumkan bantuan kepada OKU membabitkan latihan kemahiran kepada anak istimewa berusia 18 tahun ke atas di Pusat Kehidupan Berdikari (ILC) yang diwujudkan dengan kos RM1 juta.

Peruntukan RM3 juta turut diberi bagi melaksanakan inisiatif membantu anak istimewa di bawah Jabatan Anak Istimewa Selangor (AnIS).

Antara usaha dilaksanakan adalah menubuhkan Akademi AnIS selain memberi bantuan kewangan untuk menjayakan program Didik AnIS.

 


Pengarang :