Sukarelawan Selangor (Serve) membersihkan kediaman mangsa banjir di Baling, Kedah pada 8 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Team Selangor digerak ke Baling bantu bersih rumah, agih bakul makanan

SHAH ALAM, 10 JULAI: Seramai 40 sukarelawan Team Selangor ke Kedah pada Selasa ini bagi membantu mangsa banjir di Baling membersihkan rumah.

Ketua Sekretariat Syahaizel Keman berkata pihaknya turut mengagihkan 100 bakul makanan serta kit kebersihan diri kepada penduduk terjejas.

“Kita rancang untuk hantar sukarelawan menaiki bas di samping membawa perkakas pembersihan untuk memudahkan misi bantuan ini.

“Kita sedang berurusan dengan pihak di sana (Baling) bagi kerja menyelaraskan bantuan. Diharap usaha Team Selangor ini meringankan beban mangsa,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Pada 6 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan Konvoi Misi Selangor Penyayang melibatkan 263 individu dari pelbagai agensi termasuk ahli Sukarelawan Selangor (Serve) ke Baling bagi membantu kerja pascabah.

Kumpulan itu membawa ebanyak 33 jentera dan 112 alatan dibawa bagi menjayakan operasi bantuan itu meliputi pacuan empat roda (4×4), van dan lori Roll on Roll Off (RoRo) dan lori tipper.

Perkakas lain seperti mesin pemotong pokok, tong air, pam air bertekanan tinggi, jengkaut, lampu dan pelbagai alatan pembersihan lain.

Hujan lebat hampir tiga jam di Baling pada 4 Julai menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki kediaman penduduk berdekatan.

Tiga sekeluarga berusia antara 14 hingga 53 tahun termasuk wanita hamil maut selepas dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air dan banjir lumpur.

Sukarelawan Selangor (Serve) bersama kakitangan Majlis Pembandaran Selayang (MPS) membersihkan kediaman mangsa banjir di Baling, Kedah pada 8 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :