Pengerusi Teras Dato’ Ibrahim Md Yusof (kiri) menyerahkan cek cura berjumlah RM53,550.25 sebagai simbolik penyerahan dividen kepada Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar (kanan) sambil disaksikan Pengerusi Mais Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) di Dewan Orkid PKPS, Shah Alam pada 27 Oktober 2021. Foto Facebook Mais
AGENSISELANGOR

Teras laksana pelbagai program bantu usahawan asnaf

SHAH ALAM, 26 JULAI: Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) sentiasa komited membantu usahawan asnaf keluar daripada kemiskinan, kata pengerusinya.

Dato’ Ibrahim Md Yusof berkata semua usahawan asnaf dibantu dalam bidang yang mereka ceburi iaitu makanan, perkhidmatan, peruncitan, pertanian, perikanan, penternakan dan pembuatan.

“Teras bersama Lembaga Zakat Selangor sentiasa mengadakan pelbagai aktiviti demi kebaikan asnaf, selain prihatin dengan keadaan bekas usahawan yang berjaya keluar daripada status itu.

“Justeru, bagi memastikan usahawan bebas status asnaf ini terus mendapat bimbingan, kita perkenalkan mereka dengan pihak yang menyediakan pembiayaan seperti bank.

“Ia adalah antara inisiatif yang disalurkan kepada asnaf fakir dan miskin di negeri ini,” katanya.

Beliau berucap pada Program Pembangunan Usahawan Asnaf (Tuas) yang dirasmikan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

“Terdapat tiga objektif dalam pembangunan perniagaan usahawan asnaf iaitu melahirkan usahawan asnaf yang berdikari, proaktif dan berkarisma melalui latihan untuk keluar daripada status asnaf fakir dan miskin.

“Selain itu, kita juga menyedia dan mengendalikan kursus serta latihan keusahawanan asnaf fakir dan miskin bagi menambah kemahiran supaya dapat meningkatkan pendapatan serta mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan,” katanya.


Pengarang :