Pemain beregu campuran Malaysia Goh Soon Huat (belakang) dan Lai Shevon Jemie menewaskan rakan senegara Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing pada perlawanan pusingan kelayakan Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil pada 28 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Terbuka Singapura: Langkah Soon Huat-Shevon Lai terhenti di separuh akhir

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 16 JULAI: Beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terlepas tiket final kejohanan Terbuka Singapura, selepas langkah mereka terhenti di separuh akhir hari ini.

Pada aksi mendebarkan selama 65 minit itu, Soon Huat-Shevon tidak memberi jalan mudah kepada Dechapol Puavanukroh-Sapsiree Taerattanachai untuk melepasi halangan apabila mengheret gandingan Thailand itu ke set penentuan setelah menang set kedua 21-16.

Terdahulu, Soon Huat-Shevon yang juga pasangan kekasih itu tewas dalam set pertama 21-17.

Bagaimanapun, kesilapan mudah ketika pasangan negara terikat 20-20 pada set penentuan mengundang padah apabila terpaksa akur dengan kehebatan Dechapol-Sapsiree 22-20.

“Lawan kami bermain dengan baik. Mereka lebih agresif dan stabil dari segi perancangan permainan dan pukulan yang konsisten.

“Saya agak gementar sehingga melakukan beberapa kesilapan mudah pada saat-saat akhir,” kata Shevon Lai.

Sementara itu, Soon Huat-Shevon melahirkan penghargaan kepada penyokong sentiasa memberikan sokongan padu sepanjang perlawanan mereka walapun bukan dalam kalangan rakyat Malaysia yang melaungkan kata-kata semangat ‘Malaysia Boleh’.

Dechapol-Sapsiree yang juga pilihan pertama kejohanan akan membuat perhitungan akhir dengan pasangan China Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping pada aksi final esok.

Terdahulu, Wang-Huang yang juga pilihan ketiga menang mudah ke atas rakan senegara Guo Sin Wa-Zhang Shu Xian 21-8, 21-9.

– BERNAMA


Pengarang :