Sebahagian jemaah mengaminkan doa pada majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci Makkah Musim Haji 1443H/2022M di Kompleks Haji Sepang (Movenpick) pada 20 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

TH: Dakwaan kartel haji tidak berasas, syarikat pengelola dipilih penuhi syarat ditetapkan

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Dakwaan kartel haji adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali kerana mana-mana syarikat boleh memohon menjadi Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen di bawah Lembaga Tabung Haji (TH), kata Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Syed Saleh yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia berkata mana-mana syarikat pelancongan boleh memohon untuk menjadi PJH berlesen dan akan dipilih secara tahunan setelah memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

“Sistem ini telah diguna pakai sejak 2000 dan ditambah baik secara berkala. Sistem ini diperkemaskan kali terakhir pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Syed Saleh, syarat pemilihan PJH yang ditetapkan bertujuan memastikan syarikat-syarikat pelancongan tempatan memiliki kapasiti yang teguh serta mampu memberikan perkhidmatan haji terbaik termasuklah mampu menjaga rapi kebajikan jemaah haji Malaysia.

Beliau berkata TH memilih dua PJH baharu tahun ini, iaitu Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd dan Mimm Travel & Tours Sdn Bhd bagi menguruskan pemergian jemaah haji ke Tanah Suci.

Katanya, permohonan lesen PJH dibuka setiap tahun dan ditutup pada 1 Ramadan. Bagi permohonan baharu untuk musim 1444H/2023, permohonan ditutup pada 1 Ramadan 1443H/2 April 2022. Permohonan untuk musim 1445H/2024 pula akan ditutup pada 1 Ramadan 1444H.

Beliau berkata bagi memohon lesen PJH, syarikat pelancongan tempatan dikehendaki memenuhi 10 syarat antaranya pengalaman mengendalikan umrah tiga tahun berturut-turut; rekod Bank Negara Malaysia melalui Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) yang mengandungi maklumat seperti kewangan pengarah syarikat, pemegang saham syarikat dan mana-mana individu dalam pengurusan syarikat.

Selain itu, mempunyai pengurusan dan kakitangan berpengalaman; laporan juruaudit yang bersih untuk dua tahun terkini dan laporan kewangan syarikat yang diaudit untuk tiga tahun terakhir.

Lima lagi syarat ialah modal berbayar sekurang-kurangnya RM500,000, dana pemegang saham yang positif, carian rasmi dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia yang menyatakan syarikat dan individu bukanlah bankrap, lulus penilaian umrah oleh pejabat TH di Arab Saudi dan tiada kes mahkamah semasa.

Kata Syed Saleh, TH mengeluarkan lesen PJH kepada 22 syarikat pelancongan tempatan pada 22 Februari tahun ini, dengan syarikat-syarikat tersebut telah melalui proses saringan dan pemilihan yang teliti untuk beroperasi sebagai PJH berlesen bagi musim haji 1443H/2022.

TH menyarankan orang ramai terutamanya bakal haji untuk menggunakan perkhidmatan pakej haji disediakan PJH yang dilesenkan TH sahaja dan boleh merujuk kepada senarai PJH menerusi laman web TH di www.tabunghaji.gov.my.

– BERNAMA


Pengarang :