Sebahagian jemaah mengaminkan doa pada majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci Makkah Musim Haji 1443H/2022M di Kompleks Haji Sepang (Movenpick) pada 20 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

TH sedia rawatan pergigian untuk jemaah Malaysia

MAKKAH, 2 JULAI: Demi memastikan jemaah Malaysia sihat dari pelbagai sudut, Lembaga Tabung Haji (TH) bukan sahaja menyediakan perkhidmatan kesihatan awam, sakit puan dan penjagaan rohani tetapi juga pergigian.

Bertempat di Pusat Kesihatan TH Syisyah, di sini, klinik rawatan itu menyediakan kelengkapan peralatan sepertimana di tanah air dengan tenaga pakar dan ubat-ubatan.

Dr Norhayati Abas, 40, berkata meskipun peranan mulut dan gigi dilihat kecil sahaja dalam melaksanakan ibadah tetapi jemaah pastinya tidak dapat mengerjakan haji dengan sempurna jika mengalami sakit gigi dalam tempoh yang panjang.

“Merawat pesakit di Tanah Suci ini tidak ada perbezaan yang ketara berbanding di tanah air. Kita akan beri perkhidmatan terbaik dari segi perkhidmatan tampalan dan pembersihan karang gigi.

Kita juga akan memberi fokus kepada kembalikan fungsi gigi untuk jemaah haji beribadah dengan baik tanpa rasa sakit dalam mulut. Yang penting…mulut sihat, ibadah mantap,” katanya yang merupakan pakar pergigian dan periodontik di Klinik Pergigian Paya Besar, Kuantan.

Dr Norhayati yang berpeluang berkhidmat di Makkah buat kali pertama turut dibantu seorang jururawat dan seorang pembantu pembedahan dan mereka akan bertugas setiap hari.

Katanya, rata-rata jemaah yang menerima rawatan mengalami bengkak gusi, tampalan pecah dan gigi berlubang, berkemungkinan kesan daripada pemakanan yang tidak sama sepertimana di tanah air.

“Mulut bukan sekadar untuk makan dan kita perlu tahu makanan yang sihat dan mencukupi penting untuk memberi tenaga kepada jemaah. Tetapi jangan lupa bahawa sebutan dalam solat juga turut penting dan kalau gigi longgar macam mana nak sebut dengan betul,” katanya.

Tambah beliau, walaupun bilangan jemaah tahun ini hanya seramai 14,306 orang tetapi perkhidmatan mereka tetap akan berjalan sepertimana tahun sebelum ini malah pihaknya menambah baik kelengkapan dan peralatan semakin canggih.

“Jemaah haji tahun ini ada yang muda, pertengahan umur dan bawah 65 tahun. Jadi saya jangkakan mereka ada gigi yang agak baik berbanding sebelum ini yang lebih ramai warga emas yang mengalami masalah gigi longgar.

Kali ini kita jangka ada masalah gigi berlubang, tampalan bermasalah dan ada yang memakai pendakap gigi. Jika berlaku kerosakan pada pendakap gigi ia boleh menjejaskan kesihatan..besi pada pendakap gigi boleh mencucuk bibir dan lidah, ia perlukan doktor gigi untuk merawat,” katanya.

Klinik pergigian mula beroperasi di Makkah bermula 2014 dan ia sentiasa mendapat sambutan dari jemaah haji sehingga berakhir musim haji.

– BERNAMA


Pengarang :