AGENDANASIONAL

Tiga rumah terbakar, remaja perempuan alami sesak nafas

IPOH, 21 JULAI: Seorang remaja perempuan terpaksa dibawa ke hospital akibat mengalami sesak nafas dalam kebakaran melibatkan tiga buah rumah di Jalan Taman Shantin, Pasir Putih petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Putih dibantu BBP Ipoh, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru dan Menglembu dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kira-kira 4 petang.

“Setibanya di lokasi kejadian mendapati, berlaku kebakaran melibatkan tiga buah rumah berkeluasan 16×40 yang mengalami kemusnahan antara 10 hingga sebanyak 80 peratus namun berjaya dipadamkan menggunakan tiga aliran salur berserta enam pancutan dari pam jentera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata akibat kebakaran itu, seorang remaja perempuan dari satu daripada rumah terbabit mengalami sesak nafas dan telah diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan selanjutnya.

Tiada maklumat lanjut diberikan mengenai identiti remaja perempuan tersebut dan punca kejadian masih dalam siasatan.

— BERNAMA


Pengarang :