Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (lima, kanan) dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad (lima, kiri) pada program Jelajah Pakatan Harapan Selangor di Dewan Serbaguna Seksyen 7 Kota Damansara, Petaling Jaya pada 23 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tindak-tanduk BN punca suasana politik negara tidak stabil 

PETALING JAYA, 24 JULAI: Kempen kestabilan politik yang kerap dicanang pemimpin Barisan Nasional (BN) berlawanan dengan tindak-tanduk mereka yang mencetus ketidakstabilan di negara ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor berkata pemimpin BN terlibat menjatuhkan kerajaan yang menang pilihan raya sebelum menyertai kerajaan baharu tetapi kemudian menumbangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga mengingatkan pimpinan BN juga punca berlaku pilihan raya negeri selepas mereka mengambil alih tampuk pemerintah Putrajaya daripada kerajaan yang diterajui Muhyiddin.

“Jadi, mereka yang tidak bawa kestabilan (tetapi) di luar, mereka beritahu rakyat pilih mereka kerana bawa kestabilan,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Pakatan Harapan Selangor di Kota Damansara di sini malam tadi.

Pada awal 2020, pemerintahan 22 bulan HARAPAN berakhir susulan Langkah Sheraton. Pada Ogos tahun lalu, Muhyiddin terpaksa meletak jawatan dan diganti Datuk Seri Ismail Sabri, naib presiden Umno.

Sebaliknya, Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar menegaskan HARAPAN Selangor hanya mengambil masa 24 jam untuk membuat pengisytiharan politik negeri stabil tanpa perubahan wakil rakyat.

Amirudin juga menyifatkan kempen BN kononnya kerajaan selain mereka tidak mampu membawa pembangunan bahkan menjadikan sesebuah negeri hura-hara dan tidak stabil dongeng semata-mata.

“Antara dongengnya kerajaan selain BN tidak mampu bawa pembangunan. Selain BN, negeri akan jadi huru hara dan tidak stabil. BN dalam kempen PRN Melaka, Johor apa yang disebut? Pilihlah BN untuk kestabilan,” katanya dalam nada menyindir.

Beliau juga menjelaskan Selangor yang ditadbir HARAPAN terus maju dalam segenap aspek, bahkan Jabatan Perangkaan mengakui Selangor penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negara.


Pengarang :