Sebuah lori tanki yang membawa muatan susu getah terlibat dalam kemalangan di kilometer 383.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan pada 6 Julai. Foto Facebook LUAS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tindakan pantas sekat tumpahan susu getah elak LRA Bernam River Headworks dihenti tugas

SHAH ALAM, 7 JULAI: Tindakan pantas beberapa pihak menangani tumpahan susu getah di kilometer 383.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan semalam berjaya mengelak Loji Rawatan Air Bernam River Headworks (BRH) dihenti tugas.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima maklumat daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd ( Air Selangor) berhubung kemalangan melibatkan lori tanki membawa muatan berkenaan kira-kira 6.30 pagi semalam.

Bagaimanapun keadaan di lokasi terkawal selepas PLUS menyekat tumpuhan berkenaan dari terus mengalir ke Sungai Behrang.

“LUAS segera membuat pensampelan di lokasi dan mendapati tiada bahan pencemar terlepas keluar dari sekatan dibuat PLUS.

“LUAS turut menyelaraskan tindakan bersama Jabatan Alam Sekitar Perak berikutan insiden berlaku di sempadan negeri itu dan memerlukan tindakan pembersihan,” katanya di Facebook.

Agensi itu berkata kerja pembersihan dibuat secara menyeluruh oleh pihak kontraktor lantikan syarikat lori berkenaan.

“Pemantauan dari semasa ke semasa terus dijalankan bagi memastikan tiada kesan kepada sumber air Selangor,” katanya.


Pengarang :