EXCO Pertanian Ir Izham Hashim menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat dalam sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 25 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tingkat pengeluaran 800,000 ekor ayam, PKPS bangun ladang ternak di Ulu Bernam

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kerajaan Negeri bercadang membangunkan projek ternakan ayam daging di Ulu Bernam, Hulu Selangor untuk menyelesaikan isu kekurangan ayam.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata projek diuruskan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu dijangka menambah pengeluaran ayam daging sebanyak 300,000 ekor untuk setiap kitaran.

“Langkah ini menjadikan jumlah pengeluaran ladang ayam PKPS kepada 800,000 ekor ayam setiap kitaran berbanding 500,000 ekor sebelum ini.

“Selain itu, PKPS juga sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembersihan di tapak projek jagung bijirin di Gemas, Negeri Sembilan seluas 400 ekar dan Kuala Langat Selatan, Selangor seluas 300 ekar yang dijangka selesai Ogos depan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei berhubung rancangan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan isu kekurangan ayam.

Mengulas mengenai status Program Intervensi Harga Makanan Ehsan, Izham memaklumkan lebih 80,000 penduduk di Selangor menerima manfaat menerusi jualan prihatin rakyat.

“Pelbagai barangan segar seperti ayam, telur ayam, ikan sejuk beku, daging pejal segar dan minyak masak di bawa ke 60 lokasi jualan seluruh negeri,” katanya.


Pengarang :