Gambar diambil sekitar edaran makanan dan keperluan di Universiti Islam Antarabangsa dan Kolej Universiti Islam Selangor oleh Team Selangor dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Tinjauan: Harga makanan di universiti naik, siswa terpaksa ikat perut

SHAH ALAM, 5 JULAI : Mahasiswa dibeberapa universiti sekitar Lembah Klang mendakwa mereka terpaksa mengikat perut bagi menampung perbelanjaan harian susulan harga makanan dalam kampus meningkat.

Pelajar jurusan Ilmu Wahyu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nik Muhammad Fazrul Hakimi Nik Ismail, 23, mendakwa harga makanan terutamanya ayam naik RM1 hingga RM2 seketul bergantung kepada bahagian yang dipilih.

“Harga seketul ayam meningkat kepada RM5 hingga RM6 bergantung kepada bahagian dipilih pelanggan, berbanding harga lama iaitu RM4. Ini belum kira lauk lain lagi.

“Jadi kami sebagai pelajar pun perlu berbelanja secara berhemah dan ada masanya terpaksa ikat perut kerana wang tidak mencukupi,” katanya seperti dilapor BH semalam.

Pelajar jurusan Kejuruteraan Elektrik Universiti Malaya (UM), Isa Ishaq Zulkifli, 22, turut mengakui harga makanan yang dijual di dalam universiti semakin mahal sejak kebelakangan ini.

“Saya pernah dicaj RM10 bagi sepinggan nasi dengan lauk ayam dan sayur. Ini membebankan golongan pelajar seperti kami biarpun kenaikan dianggarkan antara 50 sen hingga RM1,” katanya.

Di Shah Alam, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Eza Izzah Ramli, 23, memaklumkan ada kedai makan dalam kampus yang masih mengekalkan harga sama, selain ada yang menaikkan harga antara 50 sen hingga RM1 bergantung jenis makanan.

“Untuk nasi berlauk, rata-rata kedai makan dalam kampus masih mengekalkan harga seperti biasa, contoh nasi bersama lauk ayam dan sayur masih kekal RM6, cuma nasi ayam penyet naik dari RM5 ke RM5.50 sepinggan.

“Kenaikan ini membebankan namun masih ada pilihan untuk makanan yang mampu dibeli pelajar,” katanya.


Pengarang :