Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pengulunggan sempena Kongres Nasional ke-16 KEADILAN di Ideal Convention Centre, Shah Alam pada 17 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tumpu perkasa sektor ekonomi, beri tawaran menarik kepada rakyat

SHAH ALAM, 17 JULAI: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) perlu memberi tumpuan terhadap usaha menaikkan semula sektor ekonomi yang terjejas teruk susulan penularan Covid-19.

Naib Presiden Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu menjadi cabaran besar lebih-lebih lagi sektor ekonomi yang dijangka tidak berkembang dengan baik pada tahun depan.

“Kita kena tawarkan kepada masyarakat sasaran ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19 termasuk kemelesetan, kenaikan harga barang, pengurangan bekalan makanan.

“Ini harus ditonjolkan kepada rakyat. Pentadbiran kerajaan Barisan Nasional, Perikatan Nasional tak bercerita soal ini. Mereka lebih sibuk soal PRU, siapa nak jadi perdana menteri, siapa berkuasa,” katanya.

Berucap dipentas Kongres Nasional ke-16 KEADILAN hari ini, Dato’ Menteri Besar juga memaklumkan parti perlu menjelaskan prinsip identiti politik yang diperjuangkan kepada seluruh lapisan masyarakat.

“Suka atau tidak, inilah permainan lawan-lawan kita. Memerangkap kita dengan perkauman. Sekarang kata kita hancurkan Melayu, Islam. Namun bila berkuasa, mereka pun tak boleh lari dari istilah ini (perkauman) dan guna Keluarga Malaysia.

“Kita bawa politik bukan perkauman ni dah lama. Kita pertahankan semua kaum. Kita adalah pelopor politik sebenar,” katanya.

Bertemakan ‘Menjulang Keadilan’ kongres tiga hari sejak Jumaat bakal melabuhkan tirainya petang ini. Kongres kali ini menyaksikan lebih 2,000 perwakilan mengambil bahagian selepas tidak dapat berbuat demikian tahun lalu akibat penularan Covid-19.


Pengarang :