ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar ketika membahaskan usul perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 26 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Wakil rakyat kemuka cadangan bantu perbaiki urusan sisa pepejal

SHAH ALAM, 26 JULAI: Kerajaan Negeri wajar mencari formula baharu termasuk peruntukan dana kepada KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi memastikan agensi itu tidak terbeban sekali gus dapat mengurus sisa pepejal dengan baik.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifly berkata semua pihak mahu perkhidmatan pengurusan sampah dilakukan dengan sebaik mungkin.

Namun, katanya, ketika ini KDEBWM menanggung beban kerja termasuk mengutip sampah atau sisa pepejal di kawasan kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Mereka lakukan tanpa bayaran khusus. Jika buat secara sukarela, matlamat nak jadi negeri bersih tidak tercapai. Rakyat juga akan buat aduan (sampah) kerana tak semua tahu sempadan operasi.

“Kita nak yang terbaik tetapi tak selami masalah pihak berkenaan. Tak cukup pekerja, kos rendah. Kita kena adil dan wajar pertimbangkan keadaan ekonomi serta harus cari formula terbaik,” katanya ketika membahaskan usul.

ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mokhtar pula mencadangkan Kerjaan Negeri mengeluarkan dana bagi membolehkan KDEBWM menyempurnakan tugas dengan lancar dan efisyen.

Bagaimanapun beliau menolak sekiranya tambahan modal itu diperoleh hasil daripada tindakan menaikkan cukai taksiran.

“Saya membantah keras sekiranya mahu naikkan cukai tetapi Kerajaan Negeri boleh bantu. PBT ada modal yang banyak jadi boleh gunakan untuk bantu rakyat. Kita kena cari jalan dan bukan beri beban pada penduduk,” katanya.

ADN Subang Jaya mencadangkan Kerajaan Negeri menerajui perbincangan bagi meminda akta PBT selain melihat keseluruhan ekosistem operasi kutipan sampah.

“Prestasi KDEBWM perlu ditambah baik. Kami tak salahkan syarikat berkenaan tetapi perkara ini perlu dilihat dengan menyeluruh supaya tindakan boleh diambil,” kata Michelle Ng Mei Sze.

Terdahulu ADN Kampung Tunku Lim Yi Wei membawa usul di sidang Dewan Negeri Selangor berkaitan perkhidmatan anak syarikat Kerajaan Negeri itu seperti dilaporkan Jabatan Audit Negara  pada 2019.

Sementara itu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pihaknya akan meneliti segala cadangan yang dikemukakan bagi memastikan pengurusan sampah negeri di tahap terbaik.


Pengarang :