Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan geran program Pembangunan Ibu Tunggal Negeri Selangor kepada Wanita Berdaya Selangor WBS sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Petaling di Laman MBPJ, Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Wanita Berdaya Selangor terima geran RM100,000, laksana program perkasa ibu tunggal

PETALING JAYA, 24 JULAI: Wanita Berdaya Selangor (WBS) mahu menubuhkan kelab ibu tunggal di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) menggunakan geran RM100,000 daripada Kerajaan Negeri.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata penubuhan kelab itu sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mahu memperkasa golongan berkenaan menerusi program pembangunan.

Siti Kamariah Ahmad Subki berkata untuk permulaan setiap DUN akan menerima RM1,000 bagi memulakan aktiviti asas selain mengumpul data dan membina jaringan bersama ibu tunggal di kawasan masing-masing.

“Pendekatan ini diambil memandangkan data ibu tunggal sering berubah. Ada daripada mereka sudah berkahwin tetapi dalam masa sama kes perceraian berlaku setiap hari,” katanya hari ini.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan geran berkenaan kepada Siti Kamariah ketika Jelajah Iltizam Selangor Penyayang di sini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan idea pelaksanaan geran terbabit dicetuskan EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud untuk melihat setiap DUN mempunyai kelab ibu tunggal.

“Beliau sendiri sudah memulakan projek perintis kelab ibu tunggal di DUN Seri Serdang dengan mengadakan lawatan tiga hari dua malam bersama golongan terbabit.

“Dari situ timbul idea untuk adakan geran ini dan kita sebenarnya memerlukan pendekatan mesra secara langsung dengan ibu tunggal,” katanya.


Pengarang :