Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad ketika bual bicara dan hi-tea Puspanita daerah Petaling bersama Pekawanis pada program Jelajah Selangor Penyayang di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Wanita berdepan masalah rumah tangga dinasihat tampil jumpa kaunselor

PETALING JAYA, 24 JULAI: Golongan wanita yang berdepan masalah rumah tangga atau menjadi mangsa keganasan dinasihat untuk tampil berjumpa kaunselor.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor berkata perasaan takut untuk berjumpa pakar kerana malu atau bimbang dengan tanggapan masyarakat harus disingkirkan.

“Sekiranya kita sayangkan sesebuah hubungan itu adalah penting untuk kita dapatkan nasihat yang lebih pakar seperti kaunselor atau orang yang boleh dipercayai.

“Jangan dera diri dan mental semata-mata mahu nampak rumahtangga itu bahagia sedangkan tidak. Kita jumpa kaunselor bukan untuk nampakkan suami jahat tetapi bagi mendapatkan nasihat kerana seorang wanita ada hak mereka,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad, hari ini.

Bercakap dalam program Bual Bicara ‘Keluargaku, Syurgaku’ sempena Jelajah Selangor Penyayang di sini, Masdiana berkata sebagai umat Islam, berdoa juga penting bagi memastikan hubungan kekeluargaan sentiasa bahagia dan segala masalah dipermudahkan.

Beliau turut mengingatkan golongan lelaki bahawa peranan wanita sangat besar kerana mereka adalah teraju penting dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

“Sebab itu wujudnya pepatah berjayanya seorang lelaki berdirinya wanita dibelakang mereka dan wanita juga memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak,” katanya.


Pengarang :