Siti Nuramira Abdullah, 26, (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Julai 2022 atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan penganut agama Islam. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Wanita persenda Islam ditahan Jawi, didakwa di Mahkamah Syariah esok

SHAH ALAM, 19 JULAI: Wanita yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan komediri ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) selepas dibebaskan hari ini.

Siti Nuramira Abdullah ditahan selepas menandatangani borang jamin ditemani peguamnya Ramesh Chandran di Kaunter Jaminan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur 10.30 pagi ini, lapor Berita Harian.

Mengikut tatacara, wanita itu akan ditahan selama 24 jam sebelum dijangka dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah esok untuk dituduh mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Seksyen itu membabitkan kesalahan menghina atau menyebabkan Islam dipandang hina yang boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Semalam, Nuramira dan teman lelakinya V Alexander Navin membayar wang jaminan masing-masing berjumlah RM20,000 melalui sumbangan orang ramai.

Pada 13 Julai, wanita itu mengaku tidak bersalah menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan Islam ketika membuat persembahan di Kelab Komedi Crackhouse, Taman Tun Dr Ismail.

Navin, 38, pula mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di akaun Instagram dan YouTubenya.


Pengarang :