Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada penerima program Iltizam Selangor Sihat (ISS) sempena Jelajah Selangor Penyayang (JSP) di Stadium Utama Kuala Selangor pada 2 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Waris bersyukur bantuan negeri bantu tampung kos baiki rumah pusaka

KUALA SELANGOR, 3 JULAI: Waris kepada seorang peserta Skim Insurans Peduli Sihat bersyukur apabila memperoleh tuntutan perlindungan insurans dan khairat kematian berjumlah RM6,000, hanya enam bulan selepas pemergian insan tersayang.

Shahrul Izuan Othman, 37, yang tinggal di Kampung Bukit Cherakah berkata bantuan yang dijenamakan sebagai Iltizam Selangor Sihat membantu menampung kos membaik pulih kerosakan rumah pusaka arwah bapanya, Othman Moin, 89, ekoran banjir akhir tahun lalu.

Shahrul Izuan Othman

“Arwah ayah meninggal November tahun lepas akibat Covid-19 selepas empat hari bertarung nyawa di Hospital Sungai Buloh. Sebulan selepas itu, saya segera buat permohonan tuntutan ke pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati.

“Alhamdulillah, hari ini (semalam) saya dipanggil pihak DUN mewakili arwah untuk menerima bantuan sempena Jelajah Selangor Penyayang walaupun pada mulanya saya menyangka bantuan disalur terus ke akaun bank.

“Saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana bantuan ini sedikit sebanyak boleh guna untuk baiki rumah arwah dan kami adik-beradik kena jaga rumah tersebut. Diharap usaha sebegini diteruskan untuk kemudahan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Shahrul antara enam waris menerima bantuan yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Utama Kuala Selangor dekat sini, semalam.

S Parvathy

Sementara itu, S Saraswathy, 27, tidak menyangka tuntutan tersebut diluluskan meskipun permohonan ke pejabat DUN dibuat hampir setahun selepas kematian mendiang datuknya, R Nadesan, 94, akibat sakit tua pada Mei tahun lepas.

Menurutnya, bantuan berkenaan boleh dimanfaatkan neneknya, S Parvathy, 73, yang tinggal bersendirian di Kampung Sungai Besar di sini untuk kegunaan harian berikutan sudah banyak wang dibelanjakan ketika mengurus kematian Nadesan.

“Sepatutnya tuntutan perlu dibuat sejurus datuk meninggal, tetapi saya tidak tahu berhubung perkara ini sehinggalah dimaklumkan oleh seorang wakil pusat khidmat masyarakat (PKM).

“Saya bantu nenek mohon dua bulan lepas sebelum dihubungi pihak berkaitan untuk hadir terima bantuan hari ini (semalam). Memandangkan saya tinggal di Johor Bahru atas urusan kerja, jadi saya sanggup pulang ke sini bawa nenek,” katanya.

Pengurus sebuah syarikat peruncitan turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana meneruskan bantuan rawatan asas percuma kepada nenek sejak datuknya meninggal dunia.

Semalam, Amirudin memaklumkan seramai 100,000 penduduk negeri ini dijangka menerima manfaat ISS dengan penerima bakal mendapat bantuan rawatan asas sehingga RM500, perlindungan insurans sehingga RM5,000 serta khairat kematian RM1,000.


Pengarang :