Bangunan Kementerian Luar Negara di Putrajaya. Foto Arkib Selangorkini
AGENDANASIONAL

Wisma Putra pantau rapat pergolakan di Sri Lanka, nasihat tangguh perjalanan

PUTRAJAYA, 10 JULAI: Kementerian Luar memantau rapat perkembangan di Sri Lanka susulan pergolakan akibat krisis kewangan di negara tersebut.

Wisma Putra berkata pihaknya melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Colombo sudah menghubungi rakyat Malaysia yang berdaftar di Sri Lanka, lapor potral Kosmo!.

“Langkah berterusan ini demi memastikan keselamatan mereka dan memudahkan bantuan konsular dapat diberikan dengan segera sekiranya diperlukan.

“Rakyat Malaysia yang belum berdaftar diseru segera berbuat demikian untuk kemudahan pertolongan jika berlaku kecemasan,” katanya menerusi kenyataan.

Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia supaya memberi perhatian sepenuhnya kepada keselamatan mereka dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

“Selain itu, rakyat Malaysia yang ingin melawat Sri Lanka dinasihatkan menangguhkan terlebih dahulu perjalanan tidak penting sehingga situasi stabil,” katanya.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan boleh datang ke Suruhanjaya Tinggi yang terletak di No.45, Rosmead Place, 07 Colombo pada hari bekerja dari pukul 8.30 pagi sehingga 4.30 petang.


Pengarang :