AGENSISELANGOR

Zakat Selangor urus bantuan perubatan wanita hidap barah rahim

SHAH ALAM, 1 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menguruskan bantuan perubatan pesakit barah rahim yang tular di media sosial minggu lalu.

Agensi berkata sumbangan daripada hasil kutipan zakat itu diurus mengikut keperluan serta nasihat doktor pakar yang merawat Wan Marziah atau kak long.

“Zakat anda, kami manfaat sepenuhnya buat mereka. Doakan mereka dan kami yang menguruskan. Teruskan sokongan buat LZS walaupun kalian hanya menjadi ‘mata’ di media sosial tetapi cukup bermakna untuk kami santuni mereka yang memerlukan,” katanya di Facebook semalam.

Terdahulu LZS menziarahi kak long bagi mendapatkan penjelasan berhubung kisah yang dikongsikan menerusi aplikasi TikTok.

“Hakikatnya, ia bukanlah seperti yang ditularkan di sosial media, hanyalah salah faham semata-mata berkenaan bantuan zakat,” katanya.

Jelas LZS, kak long sebelum ini merupakan wanita yang sihat dan berkerjaya. Bagaimanapun akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, kak long diberhentikan kerja.

“Beliau diuji dengan barah rahim tahap empat dan kini sedang menjalani rawatan kemoterapi. Sokongan keluarga dan rakan-rakan jadi penyumbang untuk orang seperti kak long sentiasa kuat melawan penyakit ini,” katanya.

Kisah kak long tular di media sosial selepas meluahkan rasa kesal kerana permohanan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) tidak diluluskan meskipun menghidap barah.


Pengarang :