Sektor logistik berkembang pesat di Pelabuhan Klang dan akan diperluas ke Pulau Carey bagi menjana ekonomi negeri. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Zon ekonomi Pulau Carey mampu jana RM40 bilion, wujud 115,000 peluang kerja

SHAH ALAM, 27 JULAI: Zon ekonomi khas Carey Selangor akan diwujudkan di Pulau Carey, Kuala Langat bagi memacu dan mengukuhkan pertumbuhan sektor logistik negeri yang berpotensi besar.

Dato’ Menteri Besar berkata pembangunan meliputi perindustrian, komersial, logistik, pelabuhan dan aktiviti rekreasi untuk merangsang ekosistem maritim dan menambah baik penggunaan tanah.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjangka projek itu menyumbang RM40.2 bilion menjelang 2060, anggaran RM4.7 bilion Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2045 dan mewujudkan 115,000 peluang kerja.

“Carey Selangor mempunyai keluasan 6,000 hektar di mana zon ekonomi khas itu akan memberi tumpuan kepada tiga industri utama seperti pembuatan, pelabuhan laut serta hab logistik dan pengedaran,” katanya ketika membentangkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di Dewan Negeri Selangor.

Amirudin berkata projek pemacu perubahan itu dilaksana bagi memanfaatkan potensi besar sektor logistik yang menyumbang 3.5 peratus KDNK pada setiap tahun.

Jelasnya, perkhidmatan pos dan kurier juga mencatat pertumbuhan ketika Covid-19 dengan Selangor merekod 220,930 individu bekerja dalam sektor itu pada 2020.


Pengarang :