Orang ramai menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

1,000 penduduk sertai pemeriksaan kesihatan percuma DUN Sungai Kandis

SHAH ALAM, 7 OGOS: Program pemeriksaan kesihatan percuma peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai khususnya penduduk sekitar.

Selangorkini difahamkan orang ramai beratur seawal jam 8 pagi meskipun program Selangor Saring di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama di sini dijadual bermula jam 9 pagi.

Ahli Dewan Negerinya Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata seramai 1,000 peserta dijangka menjalani program saringan awal penyakit kronik sehingga jam 3 petang.

“Alhamdulillah, ramai pengunjung yang datang untuk buat saringan hasil hebahan di seluruh DUN termasuk masjid selain kumpulan WhatsApp dan media sosial.

“Kita menggalakkan lebih ramai merebut peluang ini kerana ia memberi penjimatan hampir RM3,000 bagi semua jenis pemeriksaan,” katanya selepas meninjau program berkenaan.

Zawawi yang juga EXCO Kerajaan Negeri berkata selain saringan penyakit tidak berjangkit, kanser dan mata, program terbabit turut menawarkan pemeriksaan fisioterapi.

“Program ini sudah menjelajah ke lebih 30 DUN sejak Julai lalu dan baru kali ini perkhidmatan fisioterapi antara yang ditawarkan di sini,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khususnya individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui http://selangorsaring.selangkah.my atau hubungi talian Selcare 1-800-22-6600.


Pengarang :