Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat model rumah ketika majlis pecah tanah Rumah Idaman Bukit Jelutong di Galeri Jualan Rumah Idaman Bukit Jelutong, Shah Alam pada 26 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

1,400 unit Rumah Idaman bakal dibina di Sepang hujung tahun ini

SHAH ALAM, 26 OGOS: Sebuah lagi projek kediaman mampu milik Rumah Idaman bakal dibina di Salak Selatan, Sepang menjelang suku keempat tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembinaan projek membabitkan 1,400 unit itu akan diumumkan dalam masa terdekat termasuk pemaju dan rekaannya.

“Dalam sebulan atau dua bulan kita akan lancar Rumah Idaman di Salak Selatan atau Cyber South yang akan dibina 1,400 unit. Ini situasi yang sangat positif selepas dua tahun setengah terbeban disebabkan pandemik.

“Kalau tidak kerana pandemik, sebahagian projek boleh selesai awal namun kita masih boleh siapkannya ikut jadual ditetapkan.

“Menjelang 2025, dianggar sebanyak 6,000 unit Rumah Idaman akan dibina tidak termasuk Rumah Harapan,”katanya hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan majlis pecah tanah Rumah Idaman Bukit Jelutong di sini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad Raja Ahmad Shahrir Raja Salim.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melakukan simbolik perasmian majlis pecah tanah Rumah Idaman Bukit Jelutong di Galeri Jualan Rumah Idaman Bukit Jelutong, Shah Alam pada 26 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurut Amirudin, permintaan terhadap Rumah Idaman mendapat sambutan menggalakkan terutamanya dalam kalangan B40 dan M40.

“Seperti Rumah Idaman Bukit Jelutong yang dirasmi pada April lalu, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor memaklumkan hampir 6,000 permohonan diterima.

“Daripada segi permintaan dan pasaran dilihat sangat baik dan berkualiti tinggi. Sekarang sudah melepasi proses kebenaran merancang dan pelan pembangunan serta sedang dibangunkan,” katanya lagi.

Projek Rumah Idaman Bukit Jelutong dibangunkan Gagasan Nadi Cergas bersama PNSB merangkumi 1,260 unit, dilengkapi separa perabot bernilai RM250,000 seunit.

Mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik mandi, setiap unit diberikan set televisyen, peti sejuk, kabinet dapur, almari pakaian, pemanas air, pendingin hawa dan dua parkir.

Rumah Idaman antara inisiatif Kerajaan Negeri menerusi Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bagi membantu keluarga berpendapatan rendah (B40) memiliki kediaman selesa.

Setakat Jun lalu, sebanyak 31 projek diluluskan dengan sasaran 78,182 unit rumah dibina.


Pengarang :