Foto Facebook Piala Dunia FIFA Qatar 2022
AGENDASUKANKINI

2.45 juta tiket Piala Dunia FIFA Qatar sudah terjual

ZURICH, 19 OGOS: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada Khamis mengumumkan bahawa 2.45 juta tiket untuk Piala Dunia FIFA Qatar 2022 berjaya dijual setakat ini.

FIFA dalam satu kenyataan memaklumkan peminat dari Qatar, Amerika Syarikat, England, Arab Saudi, Mexico, Emiriah Arab Bersatu, Perancis, Argentina, Brazil dan Jerman mendahului ranking jualan tiket berdasarkan tempat tinggal, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Jumlah terbesar tiket yang diperuntukkan adalah untuk perlawanan peringkat kumpulan seperti Cameroon lwn Brazil, Brazil lwn Serbia, Portugal lwn Uruguay, Costa Rica lwn Jerman dan Australia lwn Denmark.

“Peminat yang memiliki satu atau lebih tiket perlawanan dalam akaun mereka digalakkan untuk mula merancang perjalanan mereka secepat mungkin termasuk menempah penginapan, jika tinggal di luar Qatar, dan memohon Hayya mereka (ID Peminat untuk kejohanan) melalui qatar2022.qa atau aplikasi Hayya to Qatar 2022 (tersedia bagi aplikasi telefon mudah alih iOS dan Android),” menurut FIFA.

Tarikh pelancaran fasa jualan saat akhir akan diumumkan pada September.

Kejohanan bola sepak terbesar dunia itu akan berlangsung pada 20 November dan perlawanan akhir akan diadakan di Stadium Lusail pada 18 Disember depan.

– BERNAMA


Pengarang :