Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin (tengah) dan penyanyi rap terkenal Altimet (tujuh, kanan) bergambar bersama peserta program Jelajah Usahawan Digital Selangor siri keempat anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Dewan Dewan Dato’ Penggawa Permatang, Kuala Selangor pada 6 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

200 usahawan dibimbing ke arah digital, bantu luas perniagaan

KUALA SELANGOR, 6 OGOS: Seramai 200 usahawan sekitar Kuala Selangor menyertai program latihan secara percuma bagi mendapatkan ilmu e-dagang daripada pemain industri terlatih.

Wakil rakyat Permatang berkata inisiatif menerusi Jelajah Usahawan Digital Selangor untuk membantu usahawan kecil dan besar mengembangkan perniagaan masing-masing.

Menurut Rozana Zainal Abidin, peralihan ke arah digital amat penting ketika ini apatah lagi dunia belum pulih sepenuhnya daripada ancaman wabak Covid-19.

“Ketika kita berdepan Covid-19 dengan pelbagai sekatan dikenakan, ada jutawan yang dilahirkan. Ini bermakna dunia tanpa sempadan segalanya kita dapat laksanakan, dengan syarat kita mempunyai ilmu.

“Kita buat secara percuma walaupun di luar program seperti ini dibayar dengan harga mahal tetapi berkat Kerajaan Selangor yang cukup prihatin, kita bawa program ini ke setiap daerah,” katanya.

Program anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) siri keempat itu berlangsung di Dewan Dato’ Penggawa Permatang di sini hari ini.

Inisiatif yang diperkenal sejak dua tahun lalu akan berkunjung ke semua daerah sehingga September bagi membantu usahawan menembusi pasaran antarabangsa dengan mudah dan pantas.

Selain Lazada, Shopee dan J&T, jelajah itu turut melibatkan pemain industri seperti PG Mall, EasyStore, Dropee, Yayasan Hijrah Selangor, Rantaian e-Bekalan Digital Selangor dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.


Pengarang :