AMPANG, 20 OGOS: Sebanyak 3,000 unit Rumah Idaman disediakan untuk Skim Sewa Milik Selangor, kata EXCO perumahan.
Rodziah Ismail berkata skim yang diumum Dato’ Menteri Besar itu bertujuan membantu rakyat yang belum berupaya membeli rumah memilikinya pada masa akan datang.
“Mereka boleh sewa dahulu dengan kadar berpatutan antara RM600 hingga RM800 bergantung pada kawasan sebelum memilikinya dalam tempoh tiga tahun.
“Kita sasar 3,000 unit dapat disewa dan dimiliki rakyat dalam tempoh dua tahun selepas bermula skim ini pada September depan. Namun, sebelum memiliki kediaman ini kita akan lihat komitmen pembayaran mereka,” katanya.
Tambah Rodziah, antara kawasan yang akan dibangunkan Rumah Idaman untuk dilaksana di bawah skim ini ialah di Kajang, Kuala Selangor dan Bukit Jelutong.
Terdahulu, Rodziah hadir ke Majlis Serahan Sumbangan Penyelaras Parlimen Ampang di Masjid Ukay Perdana di sini.
Beliau turut merasmikan pusat perkhidmatan pinjaman perumahan Selangor kelolaan Persatuan Inisiatif Bina Ummah (IBU) yang dibuka di perkarangan masjid tersebut.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar mengumumkan pembinaan enam projek Rumah Idaman untuk membantu penduduk yang bekerja dan tinggal di Selangor memiliki kediaman pertama.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, setiap unit berkeluasan 1,000 kaki persegi, reka bentuk praktikal dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air, dijual dengan harga RM250,000.