Petugas Prasekolah Khas Anak Istimewa Selangor (AnIS) membimbing kanak-kanak berkeperluan khas mewarna ketika tinjauan di pusat berkenaan di Seksyen 7, Shah Alam pada 6 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

40 kanak-kanak istimewa hadiri saringan prasekolah khas negeri

SHAH ALAM, 6 OGOS: Seramai 40 kanak-kanak berkeperluan khas menghadiri saringan awal kemasukan Prasekolah Khas Anak Istimewa Selangor (AnIS) di sini hari ini.

Guru pendidikan khas Jabatan AnIS berkata kanak-kanak berusia lima dan enam tahun hadir seawal 9 pagi bagi membiasakan diri mereka dengan persekitaran kelas.

“Kelas prasekolah ini akan bermula Oktober depan dan mereka yang datang hari ini telah membuat pendaftaran awal di laman sesawang AnIS,” kata S Punitha ketika ditemui.

“Selain prasaringan kita juga mengadakan hari terbuka di mana pelbagai aktiviti kita adakan seperti mewarna, seni dan sebagainya. Ia terbuka kepada semua kanak-kanak.”

Sementara itu, tinjauan Selangorkini di lokasi mendapati sebahagian besar kanak-kanak teruja dengan aktiviti yang diadakan dan tidak kurang yang menangis mahu pulang.

Sebelum ini, EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata sekolah tersebut dibangunkan bagi menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan untuk murid yang berdepan masalah pembelajaran.

Menurut Dr Siti Mariah Mahmud, inisiatif itu khusus untuk kanak-kanak autisme, sindrom down, sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) dan kanak-kanak lewat perkembangan (GDD).

Beliau menjelaskan murid yang terpilih di sekolah berkenaan juga bakal mengikuti kelas intervensi awal selama empat hari seminggu dalam tempoh empat jam setiap sesi.

“Pada pertengahan dan penghujung sesi persekolahan, murid akan menerima laporan komprehensif meliputi perkembangan dan prestasi sepanjang intervensi,” katanya.

 


Pengarang :