EXCO Pemodenan Pertanian Ir Izham Hashim menyerahkan surat tawaran sewaan Taman Agro Smart Selangor di Bukit Changgang, Kuala Langat kepada pengusaha tapak semaian Sungai Buloh di Wisma PKPS pada 4 Ogos 2022. Foto Facebook PKPS
AGENSISELANGOR

69 pengusaha tapak semaian Sungai Buloh dipindah ke taman agro Kuala Langat

SHAH ALAM, 5 OGOS : Seramai 69 pengusaha tapak semaiandi sepanjang jalan Sungai Buloh, Petaling dipindahkan ke Taman Agro Smart Selangor di Bukit Changgang, Kuala Langat.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata pengusaha berkenaan bakal memulakan operasi di kawasan seluas 20 ekar mulai Oktober ini.

“Pemindahan ini bagi membolehkan pembangunan di Sungai Buloh dilaksanakan termasuk projek pembinan jalan bertingkat dan pembesaran jalan oleh pemaju Kwasa Land.

“Semua pengusaha ini bersetuju dan mereka mendapat tapak sewaan berkeluasan 1,000 meter persegi setiap seorang,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Surat tawaran berkenaan diserahkn semalam oleh EXCO Pemodenan Pertanian Ir Izham Hashim di Wisma PKPS semalam.

Agensi memaklumkan kerja pembersihan dan infrastruktur termasuk pembinaan jalan, saliran perparitan, bekalan elektrik dan air sedang dilaksana bagi memudahkan urusan perniagaan.

Pada Mac, Izham memberitahu Taman Agro Smart Selangor berkeluasan 50 ekar dibangunkan di Bukit Changgang, Kuala Langat dengan 30 ekar daripadanya untuk pusat benih.

Inisiatif tersebut dirangka khusus bagi menjamin keselamatan bekalan makanan negeri selain memberi peluang sumber ekonomi kepada golongan muda.

Seramai 30 agropreneur baharu mampu diwujudkan melalui pelbagai bidang perniagaan seperti penanam, pemasar, pengendali logistik dan peniaga jualan secara terus hasil tanaman segar.


Pengarang :