Jenazah Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Abdul Khalid sangat berjasa kepada ekonomi bumiputera – Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Jasa Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sangat besar nilainya terutama dorongan beliau terhadap kegiatan kemajuan ekonomi bumiputera, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata bekas Menteri Besar Selangor itu yang merupakan pejuang tegar berkenaan syarikat perladangan, Guthrie, adalah kenalan lama sejak zaman universiti.

“Walaupun ada perbezaan pendapat dalam politik, tetapi itu perkara biasa… beliau tetap seperti keluarga,” katanya kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir terhadap Allahyarham di Masjid Saidina Umar Al Khattab di Bukit Damansara di sini hari ini.

Menyingkap kembali kenangan bersama arwah, Anwar berkata saat paling diingati ialah semasa menjayakan satu projek yang diusahakan bersama Kementerian Kewangan suatu ketika dahulu untuk membantu rakyat termiskin.

“Kita beri setiap keluarga RM5,000 kepada bumiputera di seluruh negara sebagai simpanan dan tabungan mereka… itu idea Abdul Khalid bersama saya yang kita lancarkan di Baling,” katanya.

Hadir sama memberi penghormatan terakhir di masjid tersebut ialah bekas Timbalan Perdana Menteri dan juga isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menyifatkan Abdul Khalid sebagai seorang pemimpin yang cekap, kuat bekerja dan pemergiannya amat dirasai.

Beliau mendoakan agar Allah SWT memberikan rahmat serta menempatkannya dalam kalangan orang beriman.

Sementara itu, tokoh politik Tan Sri Syed Hamid Albar yang turut hadir memberi perghormatan terakhir kepada Menteri Besar Selangor ke-15 itu berkata pemergian Abdul Khalid merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga beliau tetapi negeri dan negara.

“Arwah sangat baik orangnya, mudah didekati dan banyak menyumbangkan idea serta bersama-sama mengambil bahagian untuk membangunkan bukan sahaja Selangor tetapi juga negara kita,” katanya.

Allahyarham Abdul Khalid pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dari 2008 hingga 2018, serta memegang jawatan Menteri Besar Selangor dari 2008 hingga 2014.

Abdul Khalid meninggal dunia pada 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

– BERNAMA


Pengarang :