ADN Rawang Chua Wei Kiat beramah mesra dengan peserta yang hadir menjalani pemeriksaan kesihatan menerusi program Selangor Saring di Dewan Teratai Batu 17 Rawang pada 14 Ogos 2022. Foto Chua Wei Kiat
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN cadang Selangor Saring dianjur dua kali setahun setiap DUN

SHAH ALAM, 14 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang mencadangkan program Selangor Saring dianjur secara berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun di setiap kawasan.

Chua Wei Kiat berkata rata-rata individu yang hadir hari ini turut mencadangkan perkara sama kepadanya dan memuji inisiatif dianjurkan Kerajaan Negeri itu.

“Kira-kira 500 peserta hadir hari ini mahu program ini diteruskan kerana ia memudahkan mereka untuk dapatkan saringan awal kesihatan secara percuma sahaja.

“…berbanding pergi hospital swasta menelan kos perbelanjaan tinggi manakala di hospital kerajaan pula perlu menunggu masa yang lama,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas cara mempromosi program, Wei Kiat berkata selain menggantung kain rentang, pihaknya turut menggunakan kaedah hebahan menerusi media sosial seperti TikTok, Facebook dan Twitter.

“Kita turut menyarankan orang ramai memuat turun terlebih dahulu aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) supaya proses saringan lancar,” katanya.

Hari ini, program Selangor Saring diadakan di Dewan Teratai Batu 17 Rawang bagi peringkat DUN Rawang manakala di Dewan Rafflesia MBSA (DUN Kota Anggerik).

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan barah payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :