Air Selangor menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian. Foto AIR SELANGOR
AGENDANASIONAL

ADN: Tiada keluhan penduduk, naik taraf loji elak isu bekalan air masa depan

SHAH ALAM, 10 OGOS: Kebanyakan penduduk di Dewan Undangan Negeri Rawang membuat persediaan awal bagi menghadapi gangguan bekalan susulan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di loji rawatan air (LRA) Sungai Rasa.

Wakil rakyatnya berkata tiada keluhan dalam kalangan penduduk sebaliknya mereka memahami kerja berkenaan dilakukan bagi mengelak gangguan bekalan lebih buruk pada masa depan.

Menurut Chua Wei Kiat, tindakan diambil Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) itu tepat memandangkan beberapa aset loji berkenaan sudah berusia lebih 20 tahun.

Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat

“Penduduk sudah dimaklumkan (menerusi Facebook) beberapa hari sebelum kerja itu bermula dan kita minta mereka menyimpan bekalan air untuk kegunaan. Bagaimanapun ada juga yang tidak sempat berbuat demikian.

“Tetapi mereka tidak perlu risau kerana Air Selangor menyediakan lori tangki air ke kawasan terjejas,” katanya yang turut memaklumkan hampir 70 peratus atau 50,000 akaun pengguna di kawasan berkenaan terjejas susulan kerja tersebut.

Terdahulu, syarikat itu memaklumkan bekalan air di enam kawasan di Hulu Selangor yang terlibat dengan kerja terbabit pulih sepenuhnya setakat jam 10 pagi tadi.

Kawasan berkenaan ialah Perkampungan Darul Atiq, Kampung Melayu Rasa Tambahan, Desa Rening Jaya, Industri Ulu Yam Perabot, Taman Widuri, dan Taman Kesumba.

Bekalan dijangka pulih sepenuhnya di semua 188 kawasan wilayah Hulu Selangor pada jam 8 pagi esok.


Pengarang :