Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 13 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong titah KPDNHEP giat usaha lindungi kesejahteraan rakyat

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), menggiatkan usaha melindungi kesejahteraan rakyat khususnya dalam isu melibatkan sekuriti makanan dan kos sara hidup.

Seri Paduka bertitah usaha perlu ditingkatkan, bagi membendung segelintir peniaga yang mengambil keuntungan secara tidak munasabah, dengan perbuatan seperti itu jika tidak dibendung akan menyebabkan inflasi yang akhirnya menjejaskan kos sara hidup rakyat.

“Usaha untuk melindungi rakyat daripada penipuan, menangani isu-isu berkaitan halal, timbangan dan sukatan termasuklah dalam menyiasat semua aduan-aduan rakyat perlu segera ditingkatkan,” titah Al-Sultan Abdullah pada Majlis Santapan Malam Sambutan Jubli Emas Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, malam ini.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis itu. Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Timbalannya Datuk Rosol Wahid, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Yang di-Pertuan Agong bertitah tindakan membanteras penyelewengan dan penyeludupan barangan kawalan serta barangan subsidi perlu diberikan tumpuan, selain kementerian itu juga perlu terus mencari peluang bagi meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Seri Paduka bertitah hakikatnya, kesejahteraan rakyat dan usaha untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi domestik perlu terus diperkasakan.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah bahagian penguat kuasa itu yang ditubuhkan pada 17 April 1972, telah menabur bakti dalam mengawal bekalan makanan dan keperluan asas di pasaran agar sentiasa stabil dan mencukupi.

Seri Paduka bertitah selama 50 tahun lepas, bahagian penguat kuasa itu melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi bagi menangani ketirisan barangan diberikan subsidi oleh kerajaan, dan kini penglibatan bahagian berkenaan dalam Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi turut menyumbang kepada kestabilan harga barangan keperluan.

“Ketika negara berhadapan dengan Covid-19, ramai yang tidak mengetahui bahawa Bahagian Penguat Kuasa ini turut berperanan dalam menjaga kesejahteraan rakyat.

“Bagaikan wira yang tidak didendang, mereka telah saban hari mengharungi lapangan dalam usaha untuk menguatkuasa pematuhan kepada undang-undang dalam sektor perdagangan dan pengedaran,” titah Seri Paduka.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong bertitah pasukan itu juga telah mengambil langkah proaktif, dalam menjamin bekalan serta harga kit ujian kendiri, pelitup muka, pengawalan harga vaksin Covid-19, serta pelbagai barangan keperluan harian.

Menerusi sumbangan bahagian penguat kuasa itu, Al-Sultan Abdullah bertitah negara kekal berdaya saing dan turut menyumbang ke arah pemulihan ekonomi negara.

Seri Paduka bertitah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara, dengan pasukan itu bertanggungjawab kepada kesejahteraan serta kemakmuran hampir 32 juta pengguna, yang merupakan rakyat negara ini.

“Justeru, laksanakan tanggungjawab ini dengan penuh jujur dan amanah agar perdagangan domestik sentiasa maju dan pengguna sentiasa dilindungi.

“Saya dan Raja Permaisuri Agong berdoa semoga bahagian penguat kuasa dan kementerian ini, akan sentiasa dilindungi Allah subhanahu wata’ala dalam menggalas tugasan untuk melindungi rakyat dan memastikan ekonomi domestik terus kekal berkembang dengan pesat,” titah Al-Sultan Abdullah.

– BERNAMA


Pengarang :