Penyanyi rap Altimet berkongsi pengalaman dalam dunia digital sempena program Jelajah Usahawan Digital Selangor siri keempat anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Dewan Dato’ Penggawa Permatang, Kuala Selangor pada 6 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Altimet seru usahawan beralih digital, raih pulangan berbaloi

KUALA SELANGOR, 6 OGOS: Penyanyi rap dan komposer terkenal Altimet menyeru usahawan negeri ini mengembangkan perniagaan melalui platform digital kerana memberi pulangan berbaloi.

Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad berkata saranan itu berdasarkan pengalamannya sendiri yang menerima pulangan 98 peratus melalui penstriman.

“Saya mula berniaga pada 1999 bersama rakan bangunkan syarikat rakaman sendiri. Pada masa itu tiada lagi usahawan digital. Perjalanan dalam bidang ini saya nampak perubahan itu berlaku.

“Kita jual secara fizikal seperti kaset, cakera padat dan pada 2018 ketika saya keluar industri, 98 peratus jualan kami datang dari digital seperti penstriman dan tontonan di YouTube,” katanya.

Beliau ditemui pada Jelajah Usahawan Digital Selangor anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Dewan Dato’ Penggawa Permatang di sini hari ini.

Pelantun lagu Sang Saka Biru berkata rezeki yang diperoleh menerusi pendigitalan kini dikembangkan kepada perniagaan aplikasi al-Quran yang semakin dikenali ramai.

“Alhamdulillah aplikasi memeriksa bacaan al-Quran itu semakin berkembang sejak ia dibangunkan pada 2018,” kata Altimet lagi.

Jelajah yang diperkenal sejak dua tahun lalu akan berkunjung ke semua daerah sehingga September bagi membantu usahawan menembusi pasaran antarabangsa dengan mudah dan pantas.

Selain Lazada, Shopee dan J&T, jelajah itu turut melibatkan pemain industri seperti PG Mall, EasyStore, Dropee, Yayasan Hijrah Selangor dan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor.


Pengarang :