Isaac Voo mencipta sejarah industri muzik apabila muncul di Korea Selatan sebagai penyanyi pada 2016, sekali gus menjadi anak Malaysia pertama bergelar bintang K-pop di negara itu. Foto Getaran
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Anak Sabah artis K-pop popular di Korea

Oleh Intan Syuhada Akhir

Isaac Voo mencipta sejarah industri muzik apabila muncul di Korea Selatan sebagai penyanyi pada 2016, sekali gus menjadi anak Malaysia pertama bergelar bintang K-pop di negara itu.

Segala-galanya bermula apabila bakat jejaka berumur 28 ini dikesan dalam Boys 24, antara program terkenal Korea Selatan mencari artis berbakat untuk dibentuk menjadi kumpulan penyanyi lelaki.

Antara peserta paling cemerlang dan menonjol di dalam program itu selepas lapan episod bersiaran di republik berkenaan, Isaac atau nama pentasnya Bang Jek dipilih sebagai anggota IN2IT bersama Yoo Ji-ahn, Jung Yeon-tae, Hwang In-ho, Han Hyun-uk dan Lee In-pyo pada 2017.

Bakat Isaac Voo dikesan dalam Boys 24, antara program terkenal Korea Selatan mencari artis berbakat untuk dibentuk menjadi kumpulan penyanyi lelaki.

Namun ia hanya permulaan buat anak bongsu daripada empat beradik ini. Pelbagai cabaran perlu dihadapi Isaac apatah lagi dengan lambakan kumpulan penyanyi lelaki di Korea Selatan membuatkan mereka harus tampil berbeza, unik dan menonjol untuk diingati.

“Ramai orang hendak jadi bintang K-pop, tapi sebenarnya ia tidak mudah terutamanya bagi perempuan. Mereka perlu mempunyai syarat ukuran dan berat tertentu. Pendek kata harus ramping jika mahu bergelar bintang.

“Begitu juga dengan latihan. Kami hanya bermati-matian berlatih kalau mempunyai single atau lagu terbaharu. Kadangkala hanya tidur dua jam sahaja kerana harus menjalani latihan. Kami tahu syarikat lain menghadapi situasi seperti ini setiap hari,” katanya ketika ditemu bual Selangorkini baru-baru ini.

Menari sejak kecil

Berasal dari Kota Kinabalu, Sabah, Isaac sejak zaman sekolah lagi mempunyai kumpulan sendiri yang terdiri daripada rakan sama tingkatan yang menari lagu-lagu popular Korea. Tidak berhenti di situ, dia dan kawan-kawan sering menyertai pertandingan tarian dan uji bakat agensi pencarian bakat dari Korea Selatan. Namun ketika itu rezeki masih belum memihak kepadanya.

“Pada 2016 saya nekad terbang ke Korea Selatan untuk menjadi seorang bintang. Dengan duit simpanan yang ada, saya menyewa bilik kecil di studio tarian. Sebenarnya di Korea, setiap hari ada sahaja uji bakat dianjurkan mana-mana syarikat dan agensi untuk mencari bakal bintang. Saya pergi lebih daripada 10 uji bakat hampir setiap hari namun tidak berjaya.

“Saya gagal dalam uji bakat kerana pada ketika itu belum boleh bernyanyi lagu bahasa Korea dengan baik. Namun saya tetap teruskan juga berlatih menari di studio dengan rakan-rakan baharu yang saya temui di sana,” katanya.

Isaac Voo atau nama pentasnya Bang Jek dipilih sebagai anggota IN2IT bersama Yoo Ji-ahn, Jung Yeon-tae, Hwang In-ho, Han Hyun-uk dan Lee In-pyo pada 2017.

Hampir tiga bulan di Korea, Isaac masih belum dilamar mana-mana agensi pencarian bakat. Ibunya mula risau dan meminta Isaac kembali ke Negeri di Bawah Bayu segera.

“Waktu itu emak kata dia mahu datang Korea bawa saya balik Sabah. Tapi saya minta sedikit masa lagi. Kemudian saya nampak ada satu uji bakat program Boys 24 oleh studio produksi Mnet. Saya kata pada diri, kalau tidak lepas juga yang ini, saya memang akan balik Sabah.

“Kemudian pada suatu hari saya menerima panggilan daripada pihak produksi mengatakan terpilih untuk program Boys 24. Bukan itu sahaja, saya satu-satunya bukan warga Korea yang menyertai program itu. Saya sangat gembira menerima khabar itu dan rasa nak menjerit sekuat-kuatnya,” ceritanya.

Cabaran baharu

Ketika ini, semua ahli kumpulan IN2IT sibuk menjalani latihan ketenteraan wajib Korea Selatan, menyebabkan Isaac mengambil keputusan pulang ke tanah air sementara waktu.

Isaac mahu memanfaatkan keberadaannya di Malaysia dengan merakam lagu terbaharu berjudul Time Bomb hasil ciptaan Gaston Pong dan Asyraf Nasir.

Walau sudah lama tidak bertutur dalam bahasa Melayu, Isaac berasa pengalaman menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu adalah cabaran baru. Beliau berharap buah tangan pertamanya ini akan dapat diterima dengan baik oleh masyarakat Malaysia.

“Kepada peminat saya, lagu ini untuk anda. Kepada peminat baharu, selamat datang ke dunia Bang Jek. Ini baru permulaan, ada banyak lagi yang ingin saya tawarkan,” katanya.


Pengarang :