Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Razak, 69, kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar: Najib ke penjara bukti kuasa rakyat

SHAH ALAM, 24 OGOS: Keputusan mahkamah yang menolak rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam membuktikan kuasa rakyat mampu mengubah masa depan negara.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hukuman terhadap Najib tidak akan berlaku jika pengundi tidak membuat keputusan untuk memilih Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya lalu.

“Rakyat buat keputusan pada 2018 untuk memastikan badan kehakiman bebas dan bersihkan negara dari rasuah. Keputusan rakyat membolehkan pendakwaan yang profesional.

“Ingatlah, rakyat bila memutuskan dengan bijak, anak muda bila menentukan masa depan mereka, maka suasana dan iklim politik boleh berubah,” katanya dalam klip video yang dikongsi di Facebook malam tadi.

Anwar berkata keputusan mahkamah itu juga membuktikan badan kehakiman membuat keputusan berdasarkan fakta dan undang-undang sedia ada tanpa mengikut telunjuk politik pihak berkuasa.

“Ketegasan serta keberanian badan kehakiman membuat keputusan mengikut fakta dan hukum, bukan mengikut telunjuk politik pihak berkuasa yang kita alami puluhan tahun. Sekarang, ada perasaan lega.

“Saya ucapkan tahniah kepada hakim yang berani berwibawa, tunduk kepada fakta dan hukum, bukan tunduk kepada kuasa politik,” katanya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas ahli parlimen Pekan kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sejurus itu, Najib dibawa ke Penjara Kajang bagi proses dokumentasi dan dijangka akan menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh.


Pengarang :